NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Akibat kenaikan harga barang, banyak restoran berdepan risiko ‘gulung tikar’



Ramai pemilik restoran akan berdepan dengan risiko “gulung tikar” jika kenaikan harga barang mentah akan berterusan sekurang-kurangnya dalam tempoh tujuh bulan lagi kata persatuan peniaga dan pakar ekonomi.

Presiden Persatuan Pengusaha Makanan Melayu Islam Wilayah Persekutuan dan Selangor (Permas) Ayob Abd Majid berkata, sudah terdapat beberapa peniaga di bawah persatuannya yang terpaksa menutup operasi kerana tidak mampu menampung kesan kenaikan harga barang keperluan asas.

“Macam di Ampang, ada tiga restoran yang terpaksa tutup operasi sebab tak mampu nak tanggung kenaikan kos,” katanya kepada MalaysiaNow.

“Peniaga bukan sahaja perlu tanggung kenaikan harga barang, mereka perlu tanggung sewa kedai yang tinggi juga, jadi ia terlalu membebankan peniaga, daripada terus rugi lebih baik tutup operasi sahaja.”

Katanya, pelanggan juga sudah mula berkurangan kerana lebih memilih untuk makan di rumah akibat kenaikan harga.

Menurut Ayob, sementara peniaga kedai pula tidak mempunyai pilihan selain menaikkan harga makanan sekitar 30%.

“Dalam tempoh lima bulan inilah, pelanggan kita berkurangan dalam 40%. Bila isu harga beras mahal pelanggan kita turun lagi dalam 10%.

“Keadaan dah mula terbalik. Ramai yang pilih makan di rumah termasuk golongan bujang atau tak ramai dalam satu isi rumah itu sebab mereka rasa lebih jimat daripada makan di luar,” katanya.

Kenaikan mendadak harga barang keperluan asas seperti beras import dan harga ayam meresahkan peniaga dan pengguna terutamanya apabila tiada langkah proaktif yang diambil kerajaan setakat ini bagi menangani isu tersebut.

Pemain industri meramalkan harga makanan dijangka meningkat sehingga 20% menjelang bulan ini, ekoran inflasi import dan peningkatan kos operasi perniagaan.

Mengulas lanjut Ayob berkata senario penutupan operasi kedai kesan daripada kenaikan harga barang turut bergantung kepada lokasi restoran atau gerai tersebut.

“Sebab yang paling terjejas kedai makan di kawasan perumahan, pelanggan kita ini yang selalu makan di kedai kita dah berkurangan.

“Tapi kalau kedai makan di bandar, macam mamak atau di tempat yang ada pejabat, orang bekerja, pelanggan mereka akan tetap ada,” katanya.

Ayob berkata, beliau sendiri tidak terkecuali terkesan dengan situasi tersebut yang memaksanya untuk memindahkan operasi kedai makannya di tempat lain.

Pengusaha restoran mamak di Bangsar, Kuala Lumpur, Mohd Azrin Anver Ali pula berkata ada juga pengusaha memilih tidak menaikkan harga biarpun berdepan dengan peningkatan kos.

Azrin berkata kos kenaikan itu ditanggung pengusaha kerana tidak mahu membebankan lagi pengguna.

“Memang kebanyakan tidak naikkan harga sebab tak nak bebankan pengguna.

“Tapi sejujurnya tidak tahu sampai bila kami boleh tahan, untuk serap kos kenaikan.

“Sebab peniaga pun ada komitmen perlu bayar sewa kedai dan sebagainya,” katanya. 

Tambahnya, kerana beliau tidak menaikkan harga makanan, kunjungan pelanggan di kedainya tetap sama dan tidak berkurangan.

Kesan domino

Menurut pakar ekonomi dari Universiti Keusahawanan Koperasi Malaysia (UKKM) Abu Sofian Yaacob, kenaikan harga barang mentah memberi kesan “domino”terhadap harga jualan makanan juga. 

Beliau berkata, kenaikan harga jualan tidak dapat dielakkan oleh peniaga kerana mereka juga turut berdepan dengan kenaikan kos operasi.

Katanya, bagi peniaga yang memilih mengekalkan harga sedia ada kerana tidak mahu pelanggan lari, perlu menurunkan kos pengeluaran dengan meneliti input kos yang boleh dikurangkan.

Pada masa sama beliau turut meramalkan peniaga akan berdepan dengan kenaikan harga barang mentah dalam tempoh yang panjang selagi kerajaan tidak mengambil langkah berkesan untuk mengawal harga.

Pensyarah kanan itu berkata, kerajaan boleh sahaja mengambil langkah segera menjadikan bahan mentah itu sebagai bahan kawalan atau dengan memberi subsidi.

Selain itu perlunya penambahan pengeluaran bahan mentah supaya dapat menstabilkan harga pasaran. 

Katanya, kerajaan perlu mengambil tindakan lebih agresif memantau kartel yang wujud dalam satu industri atau sektor pengeluaran.

“Tapi buat masa ini saya tak nampak langkah proaktif kerajaan.

“Macam tak ada koordinasi antara kementerian dan jabatan serta tidak nampak kesan atau impak daripada seruan kerajaan.

“Menteri- menteri pula cuma memberi alasan yang tidak konkrit dan juga menyalahkan pengguna atau masyarakat,” katanya.


Sumber I MalaysiaNow 








........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo