NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Ahli Parlimen PH yang sepatutnya kosongkan kerusi, bukan Syed Saddiq, kata Khairy



Pemimpin Umno yang dipecat Khairy Jamaluddin menempelak gesaan pemimpin Pakatan Harapan (PH) terhadap Presiden Muda Syed Saddiq Syed Abdul Rahman supaya mengosongkan kerusinya di Muar, dengan berkata sebaliknya mereka yang sepatutnya mendapatkan mandat baru daripada rakyat kerana meninggalkan janji pilihan raya mereka.

"Syed Saddiq adalah ahli Parlimen yang jujur dengan dasar platform PH, iaitu tidak bekerjasama dengan Umno dan (Ahmad) Zahid Hamidi," kata bekas menteri kesihatan itu dalam edisi terbaru podcast Keluar Sekejap yang dihoskannya bersama bekas ketua penerangan Umno Shahril Hamdan.

Khairy berkata pengundi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) tahun lepas menyokong PH terutamanya kerana pendirian gabungan itu untuk tidak bekerjasama dengan Zahid, presiden Umno yang perbicaraan rasuahnya membabitkan 47 pertuduhan tiba-tiba dihentikan susulan keputusan kerajaan memohon supaya beliau dilepas tanpa dibebaskan (DNAA).

Pada PRU15, Muda memeterai pakatan pilihan raya bagi mengelak pertembungan dengan calon PH. 

Syed Saddiq mengekalkan kerusi Muar dengan majoriti yang lebih rendah, memperoleh 19,961 undi, manakala Perikatan Nasional (PN) menduduki tempat kedua mengekori rapat dengan 18,616 undi. 

Susulan pengumumannya baru-baru ini untuk keluar dari blok kerajaan, pemimpin PH menggesa Syed Saddiq mengosongkan kerusi itu, dengan mengatakan ia dimenangi atas sokongan gabungan itu. 

Seruan itu menjadi lebih kuat selepas Syed Saddiq melabelkan DAP sebagai anjing suruhan Umno, mengulangi kritikan Khairy sebelum ini. 

Pemimpin berusia 30 tahun itu muncul sebagai salah seorang ahli politik paling lantang mengecam tindakan Jabatan Peguam Negara untuk menghentikan perbicaraan rasuah terhadap Zahid, meskipun mahkamah telah menetapkan kes prima facie dan mengarahkan timbalan perdana menteri itu supaya membela diri.

Zahid memainkan peranan penting dalam memastikan pelantikan Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri selepas beliau berjanji untuk membawa ahli Parlimen Umno menyokong pengerusi PH itu susulan Parlimen tergantung selepas PRU15. 

DNAA yang diberikan kepada Zahid, yang dianggap oleh pengkritik sebagai siri balas budi oleh kerajaan Anwar dalam tempoh 10 bulan lalu, mencetuskan kemarahan rakyat, dengan protes yang dirancang di Kuala Lumpur pada 16 September menggesa pertuduhan semula dikenakan terhadap beliau.

Khairy, yang sebelum ini pernah bertelagah dengan Syed Saddiq ketika masing-masing mengetuai sayap Pemuda Umno dan Bersatu, berkata presiden Muda itu dibuli oleh tentera siber PH yang menentangnya.

"Saya tidak suka pembuli. Seolah-olah dia yang sebenarnya tak ada prinsip.

"Saya nak beritahu tentera siber PH ini, 'prinsip' ejaannya dalam bahasa Inggeris ialah P-R-I-N-C-I-P-L-E, bukan 'principal', itu adalah ketua, guru besar. Jadi betulkan!

"Saddiq ini adalah berprinsip. Dia masih lagi berpegang kepada anti-Hoi Hoi Ya Hoi. Yang lain semua Hoi Hoi Ya Hoi. Jadi jika kamu minta saya letak jawatan dan kosongkan, anda yang sepatutnya kosongkan kerusi kamu dahulu," tambah Khairy. 


Sumber I MalaysiaNow 




........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo