JOHOR BAHRU: Hari ini, 165,509 pemilih berdaftar akan memilih wakil rakyat baharu Parlimen Pulai dan 40,301 pengundi lagi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram, bagi menggantikan penyandang kedua-dua kerusi, Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub.
Kedua-dua kerusi menyaksikan saingan tiga penjuru di antara calon Pakatan Harapan (PH) yang mempertaruhkan wakil Parti Amanah Negara (AMANAH), Perikatan Nasional (PN) melalui calon BERSATU dan PAS serta calon Bebas.
Terdahulu pada Selasa lalu, seramai 927 pengundi awal membabitkan pegawai dan anggota polis selesai menunaikan tanggungjawab masing-masing bagi Parlimen Pulai, manakala tiada pengundi awal di Simpang Jeram.
Bagi proses pengundian bermula jam 8 pagi sehingga jam 6 petang ini, 47 pusat mengundi membabitkan 294 saluran disediakan di Parlimen Pulai, manakala 14 pusat mengundi dengan 68 saluran dibuka bagi DUN Simpang Jeram.
Pada PRK Parlimen Pulai, calon PH, Suhaizan Kaiat berdepan saingan tiga penjuru menentang calon PN, Zulkifli Jaafar dan Samsudin Mohamad Fauzi yang akan bertanding sebagai calon Bebas.
Di DUN Simpang Jeram pula, calon PH, Nazri Abd Rahman sebagai calon sementara PN diwakili pakar bedah, Dr Mazri Yahya manakala S Jegananthan mewakili Bebas.
Pada PRU-15, Allahyarham Salahuddin yang memperoleh 64,900 undi di kerusi Parlimen Pulai menang dengan majoriti undi 33,174, manakala bagi DUN Simpang Jeram, beliau mendapat 8,749 undi dengan majoriti undi sebanyak 2,399 undi.
No comments
Post a Comment