Keputusan itu dibuat pada mesyuarat jawatankuasa eksekutif pusat (CEC) parti itu di Kuala Lumpur malam ini.
"Ada dua calon BN yang menang di Pulau Pinang. Maka kita akan lantik wakil BN dari Umno untuk duduki jawatan Exco,” katanya.
Justeru Loke berkata BN Pulau Pinang perlu menamakan salah seorang wakil rakyatnya untuk dilantik sebagai Exco di negeri itu.
Dua calon BN yang memenangi kerusi DUN di Pulau Pinang pada pilihan raya negeri pada Sabtu lalu ialah Reezal Merican Naina Merican (Bertam) dan Rashidi Zinol (Sungai Acheh).
Sebelum ini terdapat spekulasi mengatakan bahawa Reezal, yang merupakan bekas menteri, akan diberi jawatan sebagai timbalan ketua menteri dalam kerajaan negeri.
‘DAP tak campur urusan dalaman Umno’
Sementara itu diminta mengulas desakan agar Presiden Umno, Dr Ahmad Zahid Hamidi berundur daripada parti berkenaan, Loke menegaskan DAP tidak akan mencampuri urusan parti lain terutamanya rakan gabungannya.
“Kita tak ada komen kerana kita tak mencampuri urusan parti lain terutamanya parti kompenan lain dalam kerajaan perpaduan kerana itu adalah hal dalaman masing-masing,” tegasnya.
Loke juga enggan mengulas cadangan ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Isham Jalil agar parti itu mengkaji semula hubungan dengan DAP.
Sebaliknya, dia berkata ia merupakan pendapat peribadi Isham.
“Itu cadangan dia saja dan dia cadangkan kepada partinya sajalah. Itu juga hanya cadangan seorang.
"Hubungan kita dalam Kerajaan Perpaduan ditentukan oleh pucuk pimpinan parti masing-masing. Jadi, saya tidak mahu berikan komen tambahan dengan apa yang dikatakan itu.
Loke berkata setiap individu wajar memberikan pandangan dan komen mereka, namun apa yang penting adalah keputusan di peringkat pucuk pimpinan parti.
Bagaimanapun Loke berkata hubungan DAP dengan Umno dalam Kerajaan Perpaduan akan diteruskan seperti biasa.
Malah katanya, dia juga tidak melihat cadangan agar Umno mengkaji semula hubungan dengan DAP datang daripada kepimpinan tertinggi Umno.
“Setakat ini saya juga tidak nampak Umno mengatakan bahawa akan ada kaji semula berkenaan dengan Kerajaan Kerpaduan .
“Semua parti dalam kerajaan perpaduan memberikan komitmen penuh bahawa kita mahu pastikan kerajaan persekutuan kekal stabil.
“Kita terus mentadbir negara dengan satu keyakinan dan kepercayaan yang tinggi supaya negara dapat diurus tadbir dengan baik sehingga PRU16 nanti,” tegasnya.
No comments
Post a Comment