MARANG: Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang memberi jaminan kerajaan negeri di Terengganu akan berjalan seperti biasa meskipun tanpa pembangkang.

Beliau menegaskan, meskipun semua 32 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dibarisi wakil PN, setiap daripada mereka boleh memainkan peranan menasihati kerajaan negeri termasuk rakyat sendiri.

"Kita akan galakkan budaya nasihat termasuk daripada rakyat sendiri boleh mengkritik kerajaan.

"Malah, suka dimaklumkan bahawa dalam Islam ini walaupun tidak ada pembangkang, ahli-ahli dewan boleh mengkritik dan memberi teguran," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas pengumuman keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) di Dewan Tok Guru Rusila, di sini, sebentar tadi.

Dalam pada itu, Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang menzahirkan penghargaan kepada semua pengundi Perikatan Nasional (PN) kerana memberikan kemenangan kepada tiga negeri iaitu Kelantan, Terengganu dan Kedah.

Beliau yang juga Timbalan Pengerusi PN berkata, kemenangan itu juga hasil kebangkitan semua terutama anak-anak muda.

"Malah, saya lebih berbangga apabila bukan sahaja kekal memerintah Terengganu, malah berjaya menyapu bersih semua 32 kerusi DUN dan kerusi Parlimen Kuala Terengganu.

"PN juga bukan saja berjaya mengekalkan Kelantan dan Kedah, malah kejayaan diberikan rakyat dengan kemenangan besar kali ini.

"Walaupun kita gagal menawan tiga lagi negeri, apa yang membanggakan kita apabila ada pertambahan kerusi di Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan," katanya.

Pada PRN kali ini, PAS merealisasikan sasaran memenangi 32 kerusi DUN dipertandingkan di Terengganu.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) lalu, PAS memenangi 22 daripada 32 kerusi DUN, sekali gus mentadbir Terengganu, dengan BN memperoleh 10 kerusi.