NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Stesen Kereta Api Segambut 2 dijangka siap November 2025



KUALA LUMPUR - Pembinaan Stesen Kereta Api Segambut 2 bersebelahan dengan United Point Residence, di sini, akan memangkin pembangunan di kawasan itu dan Segambut kepada kawasan yang berdensiti tinggi.

Dalam kenyataan bersama pada Khamis Perbadanan Aset Keretapi (RAC) dan IDP Industrial Development Sdn Bhd juga percaya pembinaan stesen itu yang dijangka siap pada November 2025, dapat mengurangkan kesesakan jalan raya dan menggalakkan pemilikan rumah dalam kalangan mereka yang mahu tinggal atau bekerja berhampiran pusat bandar.

Menurut kenyataan itu, IDP Industrial merupakan pemaju projek stesen kereta api baharu itu, manakala RAC adalah perbadanan kerajaan yang menyediakan tapak tanah projek.

Kedua-duanya menandatangani Perjanjian Pembangunan bagi Pembinaan Stesen Kereta Api Segambut 2 itu di ibu negara hari ini, dengan RAC diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya Azhar Ahmad dan IDP Industrial diwakili Pengarahnya Kong Pak Lim.

Majlis pemeteraian perjanjian disaksikan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, Menteri Belia dan Sukan merangkap Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh dan Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah.

"Buat masa ini, dianggarkan 330,600 penduduk tinggal dalam lingkungan empat kilometer (km) radius dari kawasan United Point Residence dan dengan pembinaan stesen kereta api berkonsep moden ini, ia dijangka dapat memberi suasana yang lebih kondusif serta selesa kepada penumpang.

 "Ini kerana, dianggarkan sejumlah 400 penumpang dapat menggunakan stesen kereta api ini pada satu-satu masa berbanding Stesen Keretapi Segambut sedia ada yang berstatus hentian dengan kemudahan yang sangat terhad,” menurut RAC dan IDP susulan pemeteraian perjanjian itu.

Stesen kereta api berkenaan bakal dilengkapi dengan kemudahan seperti empat unit eskalator dan lif, enam unit ruang perniagaan, jejantas pejalan kaki, hentian bas dan teksi serta kawasan naik serta menurunkan penumpang.

Sementara itu, Anthony berkata, dengan termeterainya perjanjian itu, kerajaan melalui RAC akan menerima pulangan secara in-kind iaitu bangunan stesen kereta api baharu bernilai RM34.1 juta serta RM3.5 juta secara sekali beri bagi menampung caj penyenggaraan dan caj lain yang berkaitan.

"Selepas lebih lima tahun diusahakan, akhirnya pembinaan stesen kereta api ini dapat dimuktamadkan dan kita berharap ia akan dapat menambah jumlah penumpang Keretapi Tanah Melayu Berhad selain mengurangkan kesesakan lalu lintas di Segambut,” katanya.

Terdahulu, pada majlis perasmian Pameran Hartanah RAC 2023 yang berlangsung pada Khamis, Anthony berkata, kerajaan melalui RAC menawarkan 10 tapak tanah kereta api di enam negeri yang berpotensi tinggi untuk dibangunkan bagi pelbagai projek.

Beliau berkata, tanah berkeluasan keseluruhan 369.45 ekar itu terletak di Pulau Pinang, Johor, Selangor, Kuala Lumpur, Perlis dan Kelantan dengan lima daripadanya berada dalam jajaran kereta api tersedia yang sesuai dimajukan dengan konsep Pembangunan Berorientasikan Transit.

"Tanah RAC ini perlu dibangunkan dan ditambah nilai supaya perbadanan dapat menikmati hasil pulangan maksimum yang seterusnya boleh digunakan untuk pembangunan sektor kereta api negara.

"Jadi saya mengalu-galukan pemaju besar untuk memberi perhatian kepada peluang ini kerana ia adalah pendekatan baharu kita dalam menjadikan sektor pengangkutan sebagai satu pemangkin pembangunan ekonomi negara,” katanya. - Bernama


 



........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo