NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Siapa S. Kadarisman ?

Sampai hati..  Kau juga sampai hati membuat aku begitu, bukankah kau tahu kesukaanku ialah belacan.. 
Kenapa kau masak sayor asam tak mau campor belacan,,  sekarang aku akan pancong leher kau..šŸ„°šŸ„°šŸ„° antara kata kata arwh dalam seniman bujang lapok
S Kadarisman antara kawan baik seniman P Ramlee

Latar belakang S Kadarisman

S. Kadarisman atau nama sebenarnya, Shadat Kadarisman bin Raden Deswaren Ambiak merupakan pelakon filem Melayu yang berasal dari keluarga berlatarbelakangkan seni. Namun begitu, beliau lebih senang dikenali sebagai Shadat Kadarisman bin Haron. Huruf “S” pada pangkal nama Kadarisman bermaksud Shadat, iaitu keturunan nenek moyang beliau.

S. Kadarisman atau lebih mesra dipanggil sebagai Pak Kadar juga merupakan anak wayang bangsawan. Datuk beliau, Hussain Golpan merupakan pengasas bangsawan, sementara ibunya pula primadona pementasan seni tersebut. Anak kedua daripada lima orang beradik itu berasal dari Kendal, Jawa Tengah,

Pak Kadar dilahirkan di Singapura pada 12 Mei 1921. Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Kampung Glam dan Rangoon English School, Victoria School sebelum memasuki sekolah aliran agama di Sekolah Arab Alsagoff di Singapura. Setelah tamat persekolahan, Pak Kadar bekerja sebagai penjilid buku di MPH (Malayan Publishing House ketika itu) dengan gaji sembilan ringgit sebulan. Beliau kemudian berkhidmat dalam Tentera Laut British.
Penglibatan Pak Kadar dalam dunia seni bermula melalui pementasan opera ketika umurnya baharu 17 tahun. Walau bagaimanapun, beliau bergiat secara sambilan sahaja, iaitu pada waktu malam kerana masih bekerja di MPH dan Tentera Laut British. Sungguhpun hanya menerima bayaran 20 sen bagi setiap persembahan, Pak Kadar tidak berpaling lagi dan gembira bergelar anak seni.

Beliau pernah merasai pengalaman pahit sewaktu menjadi pelakon bangsawan. Semasa membuat persembahan di Baling, Kedah, kawasan tersebut dilanda banjir. Pementasan tidak dapat diadakan. Oleh sebab upah diterima setiap kali selepas persembahan, maka pada malam itu tiadalah upah untuk diri beliau dan kru.

Dalam satu wawancara, Pak Kadar menceritakan beliau pernah terpakaa makan kulit roti yang dibuang oleh peniaga Malabari dengan air paip selama beliau tiada persembahan. Akibatnya, beliau mendapat gastrik yang berpanjangan. Walau bagaimanapun, penderitaan Pak Kadar berakhir apabila kenalan dari Kupang simpati dan membuat kutipan kilat untuk beliau. Dengan wang derma itu, Pak Kadar pulang ke Singapura menaiki bas. Beliau kemudian hanya membuat persembahan pentas di sekitar pulau itu dan tidak lagi secara jelajah.

Sebelum bergelar anak seni sepenuh masa, Pak Kadar pernah berlakon dalam filem Menantoe Doerhaka pada tahun 1942, terbitan Tan & Wong Film Company dari Indonesia. Kehebatan produksi di Malay Film Productions (MFP), Jalan Ampas telah menarik minat Pak Kadar. 

Beliau mengintai peluang tersebut dan berjaya memperolehnya. Di MFP, beliau merupakan salah seorang anggota dalam Majlis Penapis Cerita. Pak Kadar serba boleh dalam membawa apa-apa juga peranan, ada cerita karya Pak Kadar yang diterima oleh P. Ramlee untuk diarahkan. Antaranya termasuklah Labu Labi dan Madu Tiga.

Pada tahun 1950, Pak Kadar mendapat tawaran membintangi filem Perkahwinan Rahsia. Sejak itu, bermulalah peluang beliau apabila digandingkan dengan nama-nama besar filem Melayu seperti P. Ramlee, Aziz Sattar, Aziz Jaafar, Haji Mahadi, Saadiah, dan Roseyatimah.

Selain berlakon dan mengarah, Pak Kadar berbakat dalam bidang penulisan. Bakat tersebut dicurahkannya sewaktu menjadi pengarang sambilan dalam majalah Bintang Filem, terbitan Melayu Raya Press Company. Jika mengarang artikel yang agak kontroversi tentang dunia perfileman, Pak Kadar menggunakan nama samaran “Burung Hantu”. Namun begitu, itu bukan kerana beliau takut, tetapi untuk menjaga hubungan keharmonian antara dirinya dengan warga seni lain.

Antara kritikan pedas yang pernah Pak Kadar lontarkan dalam artikelnya ialah sikap primadona pelakon baharu dan yang menceburi dunia seni dengan tujuan serong, pelakon yang menggunakan kedudukan untuk membawa kenalan berlakon (meskipun tidak berbakat langsung), dan skandal sosial.

Ketika berlakunya peristiwa “Natrah” di Singapura, Pak Kadar turut bertindak menganjurkan aktiviti pementasan khusus bagi mengutip dana untuk Natrah Adabi atau nama sebenarnya, Maria Hertogh yang sedang menunggu keputusan mahkamah bersabit hak penjagaan. Beliau ketika itu masih aktif sebagai pelakon bangsawan bersama Sri Kembangan Opera.

Walau bagaimanapun, panas yang disangkakan hingga ke petang, rupanya hujan di tengah hari. Kegemilangan MFP berakhir. Pak Kadar terpaksa berhijrah ke Kuala Lumpur demi meneruskan kerjaya seninya. Ketika di Kuala Lumpur, Pak Kadar lebih berperanan sebagai pengarah. 

Pada era tersebut beliau dianggap bertanggungjawab menaikkan nama para pelakon baharu seperti Latiff Borgiba, Noor Azizah, dan Hussein Abu Hassan.
Namun begitu, suasana di Kuala Lumpur tidak semeriah di Jalan Ampas. Pak Kadar tidak dapat menerima suasana itu lalu pulang ke Singapura, apatah lagi setelah khidmat beliau tidak diperlukan oleh pembikin filem di Kuala Lumpur.

Sepanjang penglibatannya dalam dunia perfileman, Pak Kadar telah membintangi lebih 70 buah filem dan mengarahkan 25 buah filem. Antara pengiktirafan yang telah diterima bagi menghargai sumbangan beliau dalam dunia seni termasuklah Tokoh Bangsawan dan Anugerah Pelakon Veteran dalam Festival Filem Malaysia ke-7.

Pak Kadar meninggal dunia pada 16 Februari tahun 1989 ketika berusia 68 tahun di kediamannya di Blok 759, Yishun Ring Road, Singapura. Seperti yang dilaporkan oleh wartawan Mardiana Abu Bakar dalam The Straits Times 23 Februari tahun 1989, ketika itu Pak Kadar sedang makan malam bersama keluarganya pada kira-kira pukul 9 malam sebelum tiba-tiba diserang sesak nafas dipercayai serangan jantung, lalu rebah. Beliau menghembuskan nafas terakhir di atas pangkuan salah seorang anak lelakinya, Nazaruddin.

Jenazah Pak Kadar disemadikan di Pusara Aman, perkuburan Islam di Singapura. Beliau meninggalkan 10 orang anak. Isteri beliau, Fatimah Khairuddin telah meninggal dunia setahun sebelumnya.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo