KUALA PILAH: Setiausaha Agung Perikatan Nasional, Datuk Seri Hamzah Zainuddin menegaskan semua calon Perikatan Nasional (PN) yang bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan layak diangkat sebagai menteri besar.
Beliau berkata, bagaimanapun tiada keperluan untuk mengumumkan calon paling layak ketika ini kerana perkara itu sedang dibincangkan bersama pimpinan tertinggi parti.
"Kita nak tentukan calon kita berasakan mereka ini layak bukan sahaja jadi wakil di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN), tetapi juga layak jadi pemimpin besar (Menteri Besar) di Negeri Sembilan.
"Ketika ini, tak perlu kita nak umum sesiapa dan insya-Allah kita sedang berbincang perkara ini bersama pimpinan tertinggi," katanya selepas program Sembang Santai di Juasseh, dekat sini, malam tadi.
Sementara itu, beliau yang juga Ketua Pembangkang di Parlimen meminta ahli UMNO menyokong PN sekiranya mereka sayangkan masa depan parti itu.
Katanya, ketika ini ramai pemimpin kanan UMNO sudah melihat PN sebagai parti alternatif.
Justeru katanya, ahli parti yang tidak suka kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi supaya mengundi PN pada PRN kali ini.
"Sebab itu saya minta ahli UMNO kalau tak suka Ahmad Zahid, jangan biar saja tetapi caranya dengan mengundi PN dengan beritahu 'kau sebagai Presiden telah kalah dalam Pilihan Raya Umum Ke-15'.
"Kalau boleh orang UMNO sedar dan marilah bersama kita (PN). Kalau tak mahu keluar parti tiada masalah, tapi marilah bersama perjuangan ini dengan mengundi PN," katanya.
Menurut Hamzah, PN mahu melihat pemimpin negara tidak kira dari parti mana sekalipun mempunyai tanggungjawab dan penuh integriti dalam menentukan masa depan negara.
"Gelombang rakyat yang mahukan perubahan untuk bersama PN sedang berlaku di seluruh negeri," katanya.
No comments
Post a Comment