NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Sejarah penemanan PAS-UMNO, runtuhnya Muafakat Nasional




REMBAU: PAS mempertahankan Umno yang rapuh serta hilang kekuatan adalah demi penyatuan ummah dan menjaga kestabilan politik negara, demikian kata Timbalan Presiden PAS, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man.

Jelasnya, parti atau bangsa majoriti mesti menjadi tunjang yang menguasai dan menerajui politik pemerintahan negara, barulah kestabilan dapat diwujudkan selari panduan hadis Rasulullah SAW.

Beliau mengupas hadis ‘Pemimpin daripada Quraisy’ yang bermaksud diwakili oleh kaum paling majoriti dan berpengaruh, kerana jika sebaliknya memimpin, ia akan menyebabkan ketidakstabilan.

Imbaunya, Umno yang hilang pengaruh telah kalah dengan teruk pada PRU14 hinggakan parti-parti bersamanya juga bertindak keluar dari komponen Barisan Nasional (BN) kecuali tinggal MCA dan MIC.

“PRK (DUN) Balakong, MCA tak berani guna logo BN. Dia guna logo MCA pada masa itu. Rakan-rakan komponen BN semua keluar. Yang ada Umno, MCA, MIC. Itu pun MCA, MIC datang jumpa, bincang dengan kita untuk joined (sertai) PN. 

“(Tetapi) Kemudian ditekan, akhir tak jadi. MCA pun begitu,” ujarnya pada Majlis dan Ceramah Pengenalan Calon PN N.27 Rantau di Padang Taman Sendayan Indah, di sini semalam.

Kawan dengan Umno

Ustaz Tuan Ibrahim yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian menyambung kisah, prinsip penyatuan ummah tersebut bahkan telah diusahakan oleh pihak PAS selepas daripada tragedi 13 Mei 1969 lagi. 

Menurut beliau, ia apabila Yang Dipertua PAS, Dato’ Mohd Asri Muda menerima pelawaan Timbalan Perdana Menteri, Tun Abdul Razak Hussein untuk berbincang menangani perkembangan di waktu itu.

Ceritanya, Tun Razak ketika itu ada memberi cadangan supaya PAS dibubarkan dan semua ahli parti Islam itu masuk Umno, namun PAS berpandangan tidak perlu untuk berbuat demikian.

“Sebab kita tak tahu masa depan politik. Ia disetujui oleh Setiausaha Agung Umno, Tan Sri (Syed) Jaafar Albar. Dia setuju pandangan Dato’ Asri. Dia kata biarlah PAS menjadi komponen BN, tapi bukan bubar masuk Umno. 

“Sebab kalau apa-apa berlaku pada Umno, sekurang-kurangnya orang Melayu ada satu lagi back up parti iaitu PAS. Itu tujuannya,” ujar beliau mengenang banyak usaha bersama PAS dan Umno termasuk sebelum merdeka.

Dilawan oleh Umno

Pun begitu katanya, PAS setelah itu ditendang keluar daripada BN kerana isu berlaku di Kelantan yang menyebabkan darurat diisytiharkan dan Majlis Gerakan Negara (MAGERAN) mengambil alih.

“Lepas MAGERAN ditamatkan diadakan pilihan raya mengejut. PAS akhirnya, dari memerintah (negeri), (kalah) tinggal dua kerusi. Tapi PAS pengalaman politik 15 kali pilihan raya, kita dua kali saja bertanding sendiri. 

“Yang lain semua kita bersama gabungan-gabungan lain. Kali ni kita bersama rakan kita BERSATU, bersama dengan GERAKAN. Kenapa kita pilih rakan kita ini? Sebab kita lihat kesetiaan dalam muafakat politik. 

“Kita kalau nak ukur kawan, jangan nilai waktu senang. Kalau nak kenal sahabat setia, waktu susah itu, apakah dia tolong kita, bantu waktu kita susah? Sebab itu saya bagi tahu Umno, waktu Umno tengah susah, siapa bantu? PAS bantu. 

“Kalau kira geram, biarlah Umno mampus. Tapi tak boleh. Sebab umat ini perlu bersatu,” ujarnya memberitahu PAS telah membantu Umno dalam kempen sepuluh PRK yang diadakan selepas PRU14, termasuk memberi laluan tidak bertanding di PRK Cameron Highlands.

Sedangkan ceritanya, calon PAS bukan sahaja telah meletakkan jawatan sebagai guru, malah dia tidak mendapat pencen dan hilang segala-gala yang berkaitan hanya kerana PAS memberi laluan kepada Umno.

“Bila mari PRK, kita bincang, kita sokong Umno untuk mengelak DAP menang. Bukan mudah nak kempen ahli PAS suruh pangkah dacing ni, bukan mudah,” ujarnya turut memberitahu logo dacing itu dicadangkan PAS semasa menubuhkan BN.

Tidak khianat kawan

Terang beliau, PAS dalam sejarahnya apabila menyertai gabungan atau mengadakan muafakat politik, sama sekali tidak pernah mengkhianati rakan gabungan, tetapi PAS yang dikhianati rakan.

“Bersama BN kita ditendang keluar, bersama dengan Pakatan Rakyat, DAP tendang. Siapa yang bubar Pakatan Rakyat masa itu? DAP bubar, dan kita tegaskan bahawa kita pakat mesti ke arah benda yang sama. 

“Jangan tiba-tiba ada kepentingan dia tinggal. Macam DAP, dia pernah keluar dua kali. Satu waktu Barisan Alternatif. Dia keluar semata-mata menghadapi PRN di Sarawak. Takut orang Sarawak tak sokong DAP.

“Kerana DAP pakat dengan PAS diisytihar keluar. Sekali (lagi) waktu dalam Pakatan Rakyat. Bila mari PRN Sarawak, DAP keluar sekali lagi. Lepas pilihan raya dia (nak) join balik. Ni bukan kawan ni. Dia sanggup tinggal kawan semata-mata nak selamatkan diri 

“Sebab itu bagi kita sekarang dalam muafakat politik kita tengok gelombang kebangkitan rakyat sangat luar biasa. Walaupun kita tahu rakan kita BERSATU ni parti baru, baru tiga tahun. Jangan banding dengan PAS dah 67 tahun. 

“Yang penting gelombang ini bukan hanya duk pada ahli dan cawangan, tapi rakyat nakkan perubahan, betul tak? Sekarang rakyat nak perubahan, sebab rakyat dah hilang keyakinan kepada Kerajaan PH-BN ni,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 31/7/2023


........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo