NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Segerakan keputusan representasi kes rasuah Zahid, pihak pembelaan beritahu peguam negara

Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi (tengah) tiba di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.




Pihak pembelaan dalam kes Ahmad Zahid Hamidi memohon peguam negara menyegerakan keputusan representasi bagi mengkaji 47 pertuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan dana Yayasan Akalbudi (YAB) dihadapi Timbalan Perdana Menteri itu.

Menurut kenyataan media oleh peguam mewakili Zahid iaitu Hisyam Teh Poh Teik, Ahmad Zaidi Zainal dan Hamidi Mohd Noh, keputusan representasi itu diperlukan segera sebelum lebih ramai saksi pembelaan dipanggil pada perbicaraan selain menjimatkan kos serta masa kedua-dua pihak.

“Pihak pembelaan mengemukakan representasi dengan lebih 200 muka surat pada 8 Disember 2022 dan 25 Januari 2023 kepada pihak pendakwaan yang antara lain memohon agar keadilan terhadap Zahid diberikan dan semua pertuduhan dikaji semula dalam kes ini.

“Sehingga hari ini, pihak pembelaan masih tidak menerima sebarang jawapan daripada pihak Peguam Negara,” menurut kenyataan itu.

Zahid juga telah dirakamkan percakapannya sekali lagi selepas representasi dihantar kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada Jun 2023, katanya.

Pasukan pembelaan itu berkata menjadi perkara biasa bagi mana-mana individu yang sedang berdepan dengan kes jenayah untuk mengemukakan representasi kepada pihak peguam negara dan ia adalah hak seseorang yang dituduh untuk melakukannya. 

Kenyataan itu menyebut representasi tersebut boleh dimasukkan pada bila-bila masa sekiranya seseorang dituduh mempunyai asas kuat selain banyak kepincangan dalam pertuduhan ke atasnya termasuk jika terdapat tersalah guna kuasa terhadap pendakwaan, isu siasatan dan keterangan saksi kes.

“Justeru, tidak adil untuk mana-mana pihak cuba campur tangan dan mempolitikkan isu ini. Tambahan pula, anak guam kami adalah seorang yang dituduh dan sedang menjalankan haknya untuk memasukkan representasi di peringkat ini.

“Kami berpandangan langkah pihak pembelaan melakukan proses representasi adalah berdasarkan kepada hak anak guam mengikut proses perundangan sebagaimana terdapat dalam sistem perundangan diamalkan di negara ini,” kata kenyataan itu.

Kata pasukan pembelaan itu, mana-mana pihak tidak seharusnya menggunakan fakta representasi tersebut untuk kepentingan politik atau menakut-nakutkan orang ramai dengan memberi sangkaan buruk terhadap representasi itu.

“Sehubungan itu, pihak kami akan mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana pihak yang memprejudiskan hak anak guam kami dalam mempraktikkan haknya bagi representasi ini,” menurut kenyataan tersebut.

Selain itu, ketiga-tiga peguam berkenaan berkata antara isu diketengahkan dalam representasi tersebut ialah terdapat pendakwaan bersifat politik dalam kes itu oleh peguam negara Tommy Thomas ketika itu dan pelantikan peguam negara yang dibuat perdana menteri ketika itu Mahathir Mohamad adalah untuk menuduh Zahid.

“Pertuduhan itu dibuat kerana keengganan anak guam kami untuk membubarkan Umno sehingga menyebabkan beliau dituduh. Kecacatan siasatan yang dijalankan kerana tempoh siasatan singkat (empat bulan sahaja dari tarikh siasatan bermula) akibat daripada kegopohan untuk menuduh anak guam kami.

“Selain itu, terdapat keterangan-keterangan baharu yang kukuh untuk representasi dikemukakan oleh pihak kami,” menurut kenyataan tersebut.

Perbicaraan kes itu kini di peringkat pembelaan. Pihak pembelaan setakat ini telah memanggil 15 saksi termasuk Zahid untuk memberi keterangan.


Sumber I MalaysiaNow 




........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo