SUNGAI PETANI: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan polis disaran memantau aktiviti pemberian “sedekah politik” oleh parti menjelang hari pengundian esok.
Timbalan Perdana Menteri, Zahid Hamidi, berkata berdasarkan pengalaman pada PRU15, tidak mustahil gabungan parti politik akan menggunakan pendekatan sama terutama di saat-saat akhir tempoh berkempen PRN kali ini.
“Kegiatan memberi sedekah politik ini adalah rasuah dan dilarang mengikut Akta SPR…(berdasarkan) pengalaman dalam PRU15. Kita harap ketiga-tiga agensi ini (SPRM, SPR dan polis) dapat memantau melalui pendekatan mereka agar di saat akhir ini sedekah-sedekah politik itu tidak dilakukan,” katanya ketika ditemui pada Program Eksplorasi Belia.
Zahid berkata, pimpinan kerajaan perpaduan bawah Perdana Menteri Anwar Ibrahim akan menggunakan langkah yang demokratik pada PRN enam negeri dan PRK Parlimen Kuala Terengganu yang akan berlangsung esok.
Mengulas mengenai pengumuman Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan mengenai calon baharu menteri besar dan timbalan menteri besar Kelantan, Zahid berkata alternatif yang terbaik untuk rakyat di negeri itu adalah dengan memilih BN pada hari mengundi esok.
Sebelum ini, PAS mencadangkan gabungan agamawan dan teknokrat untuk dua jawatan itu jika mereka berjaya mempertahankan negeri tersebut esok.
Jawatan menteri besar Kelantan disandang Ahmad Yakob sementara timbalannya Mohd Amar Nik Abdullah.
No comments
Post a Comment