Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor. - Foto NSTP
Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor. - Foto NSTP

KOTA BHARU: Ketidakhadiran Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor pada ceramah malam tadi adalah kerana menghadiri mesyuarat penting, kata Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.

Timbalan Presiden PAS itu turut menafikan dakwaan calon kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Jeneri itu ditahan polis.

"Tak betul tu (dakwaan ditahan). Beliau tidak hadir ceramah kerana ada jadual bertembung dengan mesyuarat penting," katanya ketika dihubungi hari ini.

Terdahulu, ketiadaan Muhammad Sanusi yang dijadual hadir pada Ceramah Mega Perikatan Nasional (PN) Bersama Menteri Besar di Padang Awam Taman Ria di sini, malam tadi menyebabkan ribuan penyokong kecewa.

Mengikut poster yang dikongsi di akaun Facebook Muhammad Sanusi, beliau sepatutnya menyampaikan ceramah dan berkempen bersama Pengerusi PN Merbok yang juga Ahli Parlimen Merbok, Mohd Nazri Abu Hassan dan Ahli Parlimen Alor Setar, Afnan Hamimi Taib Azamudden.