Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, 1 Ogos. Gambar: Bernama |
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini diberitahu bahawa representasi dikemukakan Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi untuk menggugurkan 47 pertuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan dana Yayasan Akalbudi (YAB) yang dihadapinya masih belum diputuskan.
Ketua Bahagian Perbicaraan dan Rayuan Jabatan Peguam Negara (AGC) Mohd Dusuki Mokhtar berkata AGC masih menunggu hasil siasatan lanjut daripada Pasukan Petugas Khas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung bukti baharu yang dikemukakan pihak pembelaan.
“Pasukan petugas khas sedang menjalankan siasatan. Tiada lagi keputusan mengenai siasatan tersebut,” katanya pada perbicaraan kes dihadapi Zahid di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah (kini Hakim Mahkamah Rayuan).
Zahid, 70, mengemukakan representasi melebihi 200 muka surat mengandungi isu kompleks yang dihantar kepada Peguam Negara Idrus Harun sebagai asas untuk pertimbangan agar pertuduhan dihadapinya digugurkan.
Representasi kali pertama dihantar Januari lepas manakala representasi baharu dengan beberapa fakta serta bukti baharu berhubung pertuduhan itu dihantar kepada AGC pada Februari lepas.
Representasi itu turut disertakan surat bertarikh 20 Februari lepas daripada Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki yang memaklumkan agensi itu melakukan siasatan lanjut terhadap fakta dan bukti baharu yang dikemukakan oleh pihak pembelaan.
Prosiding hari ini turut disertai Timbalan Pendakwa Raya Abdul Malik Ayob manakala peguam Datuk Hisyam Teh Poh Teik, mewakili Zahid.
Zahid tiba di mahkamah kira-kira 8.30 pagi.
Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berdepan 47 pertuduhan iaitu 12 bagi pecah amanah, lapan berhubung rasuah dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan puluhan juta ringgit dana milik YAB.
Perbicaraan kemudian diteruskan dengan pihak pendakwaan menyoal balas saksi pembelaan keenam, Pegawai khas Zahid, Mohd Kamal Abdullah, 66.
Sumber I MalaysiaNow
........
Komen: ........
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |
No comments
Post a Comment