NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Ramasamy patut bersyukur, kata bekas Ahli Parlimen DAP


Menurut Kasthuri Patto, P Ramasamy dapat menikmati kuasa, keistimewaan dan manfaat sebagai timbalan ketua menteri II Pulau Pinang disebabkan DAP.

PETALING JAYA: Kasthuri Patto berkata, P Ramasamy, yang mengumumkan keluar DAP semalam, sepatutnya menghargai peluang yang diberikan parti itu dalam kerjaya politiknya.

Bekas Ahli Parlimen Batu Kawan daripada DAP itu berkata, Ramasamy, yang menyertai parti pada 2005, diberi peluang untuk bertanding di kerusi DUN Perai dan Parlimen Batu Kawan pada PRU12 (2008).

Selepas menang pada PRU12, Ramasamy dilantik sebagai timbalan ketua menteri II dan kekal memegang jawatan itu selama tiga penggal.

Peluang seperti itu diberikan kepada Ramasamy walaupun beliau muka baharu, kata Kasthuri.

“Beliau bukan siapa-siapa dalam arena politik ketika diterima menjadi ahli (DAP) pada 2005,” katanya dalam kenyataan.

Kasthuri turut mengaitkan kejayaan Ramasamy pada PRU12 dengan momentum yang didorong oleh gerakan “Makkal Sakti” Hindraf dan “tsunami rakyat” yang mengakibatkan perubahan ketara lima kerajaan negeri – Selangor, Pulau Pinang, Perak, Kedah dan Terengganu. DAP bersekutu dengan PKR dan PAS pada 2008.

“Beliau dilantik sebagai timbalan ketua menteri II (Pulau Pinang) dan selama 15 tahun, menikmati kuasa, keistimewaan dan manfaat yang datang dengan jawatan itu.

“Paling penting, ia disebabkan oleh DAP,” katanya.

Kasthuri seterusnya berkata, Ramasamy “menikmati segala yang DAP berikan” kepadanya dan kini menunjukkan sikap sebenarnya selepas tidak dicalonkan pada PRN.

“Kamu seorang yang tidak kenang budi,” katanya kepada Ramasamy.

Ramasamy adalah antara bekas Adun di Pulau Pinang yang tidak dicalonkan untuk PRN esok.

Semalam, Ramasamy mengumumkan keluar daripada DAP dan mendakwa DAP Pulau Pinang sedang melakukan “pembersihan” untuk menyingkirkan individu yang dianggap menyokong Ketua Menteri Chow Kon Yeow.

Ramasamy turut meluahkan kekecewaannya terhadap Loke Siew Fook, mendakwa setiausaha agung DAP itu tidak memaklumkan lebih awal keputusan tidak mencalonkannya.

Kasthuri mendakwa Ramasamy telah “mensabotajnya” semasa beliau berkhidmat sebagai Ahli Parlimen Batu Kawan dengan “menyekat sebarang cara untuk saya mendapatkan maklumat tentang apa yang berlaku di (kawasannya) Perai”.

Beliau turut mendakwa telah “diganggu” oleh Ramasamy dan pasukannya.

FMT telah menghubungi Ramasamy untuk mendapatkan komen.


No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo