PETALING JAYA: Putrajaya perlu membantu dari segi pembiayaan mengurus, bukannya mengambil alih atau merombak Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB), kata bekas menteri alam sekitar dan air, Tuan Ibrahim Tuan Man.
Beliau berkata, masalah bekalan air bukan hanya dihadapi Kelantan, tetapi negeri lain termasuk Melaka juga memerlukan bantuan kerajaan persekutuan.
Katanya, Kelantan mengakui tidak mampu dari segi kewangan, justeru ia memerlukan geran untuk melaksanakan beberapa projek, contohnya penukaran paip baharu dan Takungan Air Pinggiran Sungai (TAPS).
“Sebenarnya, penyelesaian (masalah) bukan hanya pengambilalihan dan rombakan, tapi laksanakan tanggungjawab yang belum dilaksanakan dan saya tengok kita perlu satu reformasi dari segi kaedah bekalan air seluruh negara.
“Masalah ini bukan Kelantan saja, (tapi) negeri lain pun teruk. Macam Melaka, sumber airnya kritikal, terpaksa beli air dari Johor. Jadi bagi saya, kerajaan pusat bertanggungjawab untuk bantu.
“Pengambilalihan ini walau akta ada hak, tapi dari segi itu, kerajaan negeri mana-mana pun tak akan rela kerajaan persekutuan ambil (alih), cuma bantu,” katanya menurut Harian Metro selepas Ceramah Mega Pakat Pertahan DUN Kelaboran di Padang Kemahkotaan, Tumpat.
Semalam, Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad dilaporkan berkata, Putrajaya tidak menolak kemungkinan melakukan rombakan atau mengambil alih AKSB, jika usaha menyelesaikan masalah air di Kelantan tidak berhasil.
Katanya, rombakan dan pengambilalihan boleh dilakukan menerusi Akta Industri Perkhidmatan Air (Wasia), tetapi itu jalan terakhir dan keadaan belum sampai ke tahap itu sekarang.
Tuan Ibrahim berkata, isu air di Kelantan ada kaitan dengan sistem loji air perlu dinaik taraf.
“Sistem loji kita, kerajaan kita (pusat) kena biaya sebab kos besar, kerajaan negeri tak mampu. Satu loji sampai RM200 juta hingga RM300 juta, loji ini sudah lama dan kena ‘upgrade’, (kerajaan) pusat perlu sediakan (dana).
“Saya sudah beritahu dulu (ketika menjadi menteri alam sekitar dan air), kerajaan persekutuan perlu biayai RM2 bilion setahun kepada semua operator air di seluruh negara untuk ‘sustain’.
“Saya fikir PM sudah berjanji untuk membantu dan kalau diberi bantuan boleh selesai, tak perlu rombakan apa-apa.”
Sumber I FMT Malaysia
........
Komen: ........
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |
No comments
Post a Comment