Pulau Pinang tidak akan mengenakan kompaun ke atas premis perniagaan di negeri itu yang enggan mengibarkan Jalur Gemilang sempena Bulan Kebangsaan kerana kerajaan negeri tiada dasar sedemikian, kata Ketua Menteri Chow Kon Yeow.
Namun Chow berkata kerajaan negeri menggalakkan premis perniagaan mengibarkan Jalur Gemilang secara sukarela dan terbuka sebagai menunjukkan kesetiaan dan kecintaan kepada negara, menurut laporan Bernama.
“Di Pulau Pinang sememangnya tiada dasar sedemikian (mengenakan denda jika tidak pasang Jalur Gemilang), kita percaya jika mengenakan denda dasar sedemikian, mungkin akan ada kesan sebaliknya.
“Sepatutnya patriotisme atau apa-apa program yang dianjurkan, adalah atas semangat kecintaan kita kepada negara bukanlah melalui paksaan dan sudah banyak mempertikaikan adakah dengan memasang bendera menunjukkan semangat patriotisme kita?.
“Kalau tak pasang (Jalur Gemilang) pula, tak menunjukkan (semangat patriotisme)?, ini selalu dibicarakan dalam 10 ke 20 tahun ini. Jadi di sini, kita menggalakkan pemasangan Jalur Gemilang sebagai tanda terbuka untuk menyatupadukan, menunjukkan kesetiaan dan kecintaan kepada negara, tiada paksaan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Chow ditemui selepas merasmikan dan melepaskan konvoi motosikal sempena Program Jaulah Merdeka Ride To Khairah Ummah 4.0 Tahun 2023 Malaysia MADANI peringkat Pulau Pinang di Masjid Jamek Jelutong, di sini.
Chow berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung laporan media bahawa premis perniagaan di bandar raya Ipoh, Perak yang enggan mematuhi notis arahan pemasangan Jalur Gemilang sempena Bulan Kebangsaan akan dikenakan kompaun RM250.
Datuk Bandar Ipoh Datuk Rumaizi Baharin dilaporkan berkata kompaun itu dikenakan di bawah Seksyen 107(2) Akta Kerajaan Tempatan kerana melanggar syarat lesen.
Sementara itu, Chow berkata program itu berjaya menghimpunkan peserta tanpa mengira usia, latar belakang dan model motosikal bagi mendekatkan masyarakat kepada masjid terutamanya dalam kalangan generasi muda.
Katanya beliau berasa gembira dan berbangga dengan sikap keterbukaan, toleransi dan patriotik daripada masyarakat di negeri ini yang sentiasa berusaha mengeratkan hubungan perpaduan melalui program-program seperti Jaulah Merdeka itu.
“Sebagai sebuah negeri berkonsepkan pendekatan Malaysia MADANI yang berteraskan kemampanan, kesejahteraan, daya cipta, hormat, keyakinan dan ihsan, saya berharap seluruh inti pati masyarakat Pulau Pinang mampu menjadi penyumbang kepada kemampanan dalam pembangunan ekonomi Malaysia secara keseluruhan,” katanya.
Sebanyak 200 motosikal menyertai konvoi sempena program itu dan para peserta akan menjelajah di enam buah masjid di lima daerah di negeri ini bagi menyemarakkan sambutan Bulan Kemerdekaan dan mengimarahkan masjid.
Sumber I Agenda Daily
........
Komen: ........
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |
No comments
Post a Comment