BALING: Kerjasama PAS dengan Dr Mahathir Mohamad yang didakwa bertanggungjawab dalam tragedi berdarah Memali, 38 tahun lalu, tidak memudarkan sokongan penduduk kampung terhadap PAS serta Perikatan Nasional (PN).
Tinjauan FMT ke kampung terletak bawah DUN Bayu itu mendapati tiada bendera Barisan Nasional (BN) dipasang, hanya dipenuhi PAS serta PN yang turut membuka empat bilik gerakan di perkampungan mempunyai 200 rumah itu.
Kerusi Bayu menyaksikan pertandingan dua penjuru membabitkan Taufik Yaacob dari PN ditentang calon BN Ishak Mat.
Bercakap kepada FMT, seorang penduduk dikenali sebagai Ahmad yang mewakili penghuni kampung itu berkata majoritinya masih menyokong PAS selagi parti Islam itu tidak mengubah dasar perjuangannya.
“Mereka (BN) nak pasang bendera tak boleh, kalau ada kita cabut dan serah semula dengan baik…bukan nak bergaduh tetapi kami tak boleh terima kejadian dahulu,” kata anak kepada salah seorang mangsa tragedi pada 19 Nov 1985 itu.
Pada 23 Jul lalu, Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata Mahathir individu ‘paling kejam’ terhadap PAS, sekolah agama rakyat dan mangsa dalam Peristiwa Memali, namun kini diangkat pemimpin parti terbabit.
Mahathir setakat ini telah bersama PAS dalam ceramah di Kota Bharu pada 21 Jul dan Shah Alam, empat hari kemudiannya, sebagai sokongan bekas perdana menteri itu kepada PN pada PRN 12 Ogos.
Presiden PAS Hadi Awang dan beberapa pemimpinnya turut menyokong Proklamasi Orang Melayu diasaskan Mahathir.
Pada 10 Jan 2018, Berita Harian melaporkan kenyataan Solehah Husain, isteri kepada Ibrahim Mahmud atau dikenali sebagai Ibrahim Libya yang tidak berhenti mengharapkan pembelaan atas kematian suaminya dan penduduk kampung, yang menjadi mangsa tragedi kejam dan dituduh sebagai pengganas yang mahu menumbangkan kerajaan.
“Secara jujur, saya tidak akan memaafkan Dr Mahathir (perdana menteri ketika insiden Memali),” katanya.
PAS menyalahkan Mahathir berhubung apa yang berlaku, manakala bekas presiden Umno itu pula mendakwa ia sebenarnya adalah kesalahan Hadi – yang didakwa meniupkan keganasan melalui “Amanat Hadi” pada 1981.
Pertembungan itu menyebabkan 14 orang awam, termasuk Ibrahim dan empat anggota polis terbunuh.
Sumber I FMT Malaysia
........
Komen: ........
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |
No comments
Post a Comment