NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

PRK: PN bawa misi teruskan momentum gelombang rakyat, PH-UMNO berdepan ujian



Tirai ‘perang’ kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi kerusi Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram secara rasminya dibuka hari ini, sekali gus menyaksikan dua kawasan itu akan menjadi tumpuan sepanjang tempoh 14 hari akan datang sehingga hari pengundian pada 9 Sept nanti.

Pada PRK kali ini, Perikatan Nasional (PN) membawa misi untuk mengekalkan momentum keputusan semasa enam Pilihan Raya Negeri (PRN) yang menyaksikan banyak kerusi berjaya dimenangi di kubu kuat Pakatan Harapan (PH), sementara UMNO berdepan ujian untuk menyakinkan ahli-ahlinya bekerjasama dengan DAP dalam PH.

Kehadiran barisan ‘panglima’ parti-parti utama yang bertanding melibatkan gabungan PH-UMNO dan Perikatan Nasional (PN) dalam proses penamaan calon hari ini, cukup untuk memberi gambaran kempen PRK kali ini pasti hangat, lapor Bernama.

Di pihak PH-BN, kehadiran Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga Pengerusi BN dan Presiden UMNO serta Presiden Amanah Datuk Seri Mohamad Sabu pastinya menyuntik semangat kepada calon PH bagi Parlimen Pulai, Suhaizan Kaiat untuk memenangi kerusi yang disandang oleh Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub sebelum ini.

Turut mengiringi Suhaizan semasa proses penamaan hari ini, Naib Presiden Umno Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Ahli Majlis Tertinggi dan bekas Ahli Parlimen Pulai Datuk Nur Jazlan Mohamed, sekali gus menepis dakwaan tentang penolakan calon PH itu oleh pemimpin BN di negeri berkenaan.

Di Muar pula, Ahli Majlis Tertinggi UMNO merangkap Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi menghulurkan sokongan kepada calon yang dipertaruhkan PH, Nazri Abdul Rahman dengan mengiringinya ke pusat penamaan bersama-sama Naib Presiden Amanah Adly Zahari, Naib Presiden Amanah Datuk Seri Mujahid Yusof Rawa dan Ahli Parlimen Bakri Tan Hong Pin.

Perikatan Nasional (PN) juga tidak ketinggalan menurunkan barisan pemimpin tertinggi mereka bagi mengiringi calon di kedua-dua kawasan antaranya Setiausaha Agung PN Datuk Seri Hamzah Zainuddin dan Timbalan Presiden Bersatu Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

Turut kelihatan dua Naib Presiden Bersatu Datuk Seri Dr Ronald Kiandee dan Datuk Dr Radzi Jidin serta Setiausaha Agung PAS Datuk Seri Takiyuddin Hassan bagi mengiringi calon mereka iaitu Zulkifli Jaafar di Parlimen Pulai dan Dr Mohd Mazri Yahya di Dewan Undangan Negeri Simpang Jeram.

Menurut penganalisis politik Dr Che Hamdan Che Mohd Razali, kedua-dua kerusi itu pastinya menjadi tumpuan PH-BN dan PN untuk meneruskan momentum semasa Pilihan Raya Negeri (PRN) baru-baru ini.

“Bagi PN pastinya mereka mahu mengambil momentum daripada PRN lepas untuk membuktikan gelombang yang dikatakan itu mampu sampai ke Johor dan untuk PH-BN pula, ia adalah perjuangan mempertahankan maruah.

“PH-BN perlu bekerja keras, (kerana) bila berlaku PRK, jentera bukannya melibatkan hanya setempat tetapi jentera seluruh negara, tidak boleh pandang ringan, mereka kena menang dengan majoriti lebih besar.

“Ini bagi membuktikan (meskipun) pada PRN lepas, banyak kerusi dicuri PN, di Johor ni, PH-BN masih mampu kekal berpengaruh dengan majoriti besar lebih-lebih lagi ini kali pertama kedua-dua parti itu bergabung di negeri ini,” kata beliau kepada Bernama ketika dihubungi, di sini hari ini.

Pensyarah kanan di Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Pahang itu juga berkata peranan Onn Hafiz dalam jentera UMNO Johor juga dilihat penting supaya akhirnya dapat diterjemahkan kepada undi.

“Keupayaan Menteri Besar belum lagi teruji memandangkan beliau bukan poster boy pada Pilihan Raya Negeri Johor pada Mac tahun lepas.

“Kalau dia (Onn Hafiz) berkempen, perlulah terangkan apa yang sedang dan telah dilaksanakan oleh kerajaan negeri. Saya yakin penerimaan rakyat terhadap pentadbiran dan sumbangan kerajaan negeri juga dapat diterjemahkan kepada undi sekali gus menyumbang kepada kemenangan kepada calon PH,” katanya.

Kedua-dua kerusi berkenaan akan menyaksikan pertandingan tiga penjuru termasuk kehadiran dua calon Bebas iaitu Samsudin Mohamad Fauzi di Pulai manakala S. Jegananthan di Simpang Jeram.

Berdasarkan data Suruhanjaya Pilihan Raya setakat 23 Julai lepas, seramai 166,653 individu layak mengundi bagi kerusi Parlimen Pulai manakala di Simpang Jeram pula 40,379 pengundi akan menunaikan tanggungjawab mereka memilih wakil rakyat baharu.


Sumber I Agenda Daily 



........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo