NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Peruntukan kepada ADUN Pulau Pinang kekal, Kon Yeow tidak ingat jumlah peruntukan

GEORGE TOWN: Kerajaan Negeri Pulau Pinang akan menyediakan peruntukan kepada kesemua 11 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pembangkang mengikut dasar sedia ada.

Bagaimanapun, Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, jumlah peruntukan itu tidak akan sama dengan yang diperuntukkan kepada ADUN daripada kerajaan negeri.

”Kami (kerajaan perpaduan Pakatan Harapan (PH)- Barisan Nasional (BN) akan meneruskan dasar yang sama dari segi peruntukan untuk ADUN kerajaan negeri dan pembangkang.

”Tetapi jumlahnya (peruntukan) tidak akan sama,” katanya dalam sidang akhbar selepas menghadiri majlis angkat sumpah ADUN di Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Pinang, di sini hari ini.

Pada majlis angkat sumpah itu, 40 ADUN Pulau Pinang yang menang pada Pilihan Raya Negeri ke-15 (PRN15), mengangkat sumpah jawatan di DUN Pulau Pinang.

Menurut Kon Yeow, semua ADUN Pulau Pinang bagi penggal ini akan menggunakan baki peruntukkan penggal lalu untuk dibelanjakan di kawasan masing-masing.

”Semua Ahli Dewan yang baharu akan menguruskan baki peruntukkan bagi penggal yang lepas. Ini bermaksud, bajet bagi tahun ini, apa yang sudah dibelanjakan oleh Ahli Dewan sebelum ini masih ada baki kerana kita mengehadkan penggunaan (peruntukan).

“Ia dilakukan supaya ada baki untuk Ahli Dewan baharu yang dipilih untuk digunakan. Bagi pembangkang pun sama, kalau ada baki, kita akan meneruskan peruntukan itu,”katanya.

Dalam pada itu, ditanya berapa jumlah peruntukan yang disalurkan kepada ADUN-ADUN di negeri itu termasuk ADUN pembangkang, Kon Yeow berkata, beliau tidak dapat mengingati jumlah sebenar peruntukan tersebut.

Sementara itu, Kon Yeow menyeru semua ADUN supaya tidak sesekali menanamkan kebencian, politik perkauman dan sensitiviti agama dalam perjuangan masing-masing.

”Sebaliknya segala perlakuan serta percakapan yang kita tunjukkan adalah perlu bertunjangkan kepada fakta dan prinsip matang yang tidak sesekali memecahkan pegangan keluhuran Perlembagaan kita.

”Jadikan DUN penggal ini sebagai contoh terbaik, medan untuk kita sama-sama perjuangkan segala kebaikan demi manfaat rakyat,” katanya. – UTUSAN

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo