MARANG: Perikatan Nasional (PN) masih boleh menukar Kerajaan Perpaduan di peringkat Pusat sekali pun tidak memenangi semua enam negeri pada Pilihan Raya Negeri (PRN) yang berakhir semalam, kata Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang.
Beliau yang juga Timbalan Pengerusi PN berkata keyakinan itu berdasarkan kejayaan PAS memenangi banyak kerusi meskipun tidak dapat merampas Pulau Pinang, Negeri Sembilan dan Selangor.
"Ini (keputusan PRN enam negeri) menunjukkan undi protes terhadap gabungan Pakatan Harapan (PH). Walaupun tidak menang terhadap tiga negeri, perubahan kerajaan tetap boleh berlaku.
"Kita tahu DAP kini mengalami krisis dalaman seperti pemilihan calon pada PRN, menyerang UMNO pada pilihan raya dan sebagainya.
"Jadi, gabungan mereka tidak kukuh, yang stabil buat masa sekarang hanyalah PN," katanya selepas pengumuman keputusan PRN di Dewan Tok Guru Rusila, di sini, malam tadi.
Pada PRN negeri yang berakhir semalam, PN mengekalkan tiga negeri merangkumi kemenangan bergaya di Terengganu, Kedah dan Kelantan manakala menyaksikan pertambahan kerusi di Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan.
Mengulas lanjut, Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang berkata, walaupun PH dan Barisan Nasional (BN) menamakan kerajaan mereka sebagai Kerajaan Perpaduan, tetapi ia tidak memenuhi istilah perpaduan sebenar.
"Kita melihat PH perlu mempunyai 80 kerusi terlebih dulu di samping Sabah, Sarawak dan BN yang memberi dokongan macam sementara waktu sahaja.
"Malah, kita difahamkan ada SD (akuan bersumpah) yang dibuat seterusnya dibentuk kerajaan sebegitu rupa manakala ahli-ahli parlimen dari BN termasuk Sabah dan Sarawak menunjukkan sikap tidak senang... jadi pembangkang atas kerajaan, itu yang berlaku.
"Keadaan ini, kita mengharapkan akan menyaksikan perubahan untuk menyokong kita dengan mendapat majoriti untuk PN mengambil alih kerajaan," katanya.
Abdul Hadi berkata, pertukaran kerajaan adalah amalan biasa dalam demokrasi yang mana undi tidak percaya, SD dan sebagainya.
"Anjakan baharu ini akan memberi perubahan maknanya ia menunjukkan sokongan rakyat terhadap PH sudah merosot dan peratus undi merosot ini adalah undi protes terhadap PH," katanya.
-
No comments
Post a Comment