Menteri Besar Perlis Mohd Shukri Ramli, berkata belum menerima keputusan pimpinan PN berkaitan penggunaan logo dan tema Hari Kebangsaan. |
PETALING JAYA: Kerajaan Perlis menolak menggunakan logo Hari Kebangsaan diperkenal Putrajaya kerana mempunyai perkataan “Malaysia Madani”, namun tidak mempunyai masalah dengan tema “Tekad Perpaduan, Penuhi Harapan”.
Menteri Besarnya Mohd Shukri Ramli berkata tindakan itu bukan di luar kebiasaan dan pernah dilakukan blok pembangkang Pakatan Rakyat (PR) diketuai Anwar Ibrahim pada 2012 yang turut menyatakan tidak salah menggunakan logo dan tema berbeza dengan kerajaan pusat.
Pada 2012, PR menggunakan tema alternatif “Sebangsa, Senegara, Sejiwa” bagi sambutan Hari Kebangsaan 2012, manakala tema rasmi kerajaan persekutuan adalah ‘55 Tahun Merdeka: Janji Ditepati’.
“Setakat ini (saya) belum dapat apa-apa lagi daripada pucuk pimpinan (Perikatan Nasional (PN)), jadi kita kena tunggu dan lihat dahulu dan perkara ini juga akan dibincangkan dengan pucuk pimpinan PN terlebih dahulu.
“Namun, saya melihat kita boleh sahaja ikut (kerajaan pusat), tiada masalah cuma kita tidak pakai logo Malaysia Madani itu sebaliknya kita pakai moto (tema) sahaja,” katanya menurut Sinar Harian.
Semalam, Ketua Pemuda PN Ahmad Fadhli Shaari memperkenalkan logo Hari Kebangsaan PN berteraskan bunga raya dengan lima kelopak yang menjadi bunga kebangsaan digabungkan elemen warna pada Jalur Gemilang dengan tema “Teguh Muafakat Malaysia Sejahtera”.
Fadhli berkata, logo dan tema itu bakal digunakan untuk ucapan pimpinan PN sempena Hari Kebangsaan, namun akan mencadangkannya diperluaskan ke Kedah, Kelantan, Terengganu serta Perlis yang ditadbir gabungan itu.
Namun, hari ini, Presiden Gerakan Dominic Lau membantah sambil menyatakan sambutan Hari Kebangsaan tidak patut dipolitikkan dan gabungan pembangkang itu tidak patut dilihat cuba berbuat demikian.
Mei lalu, Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil mengumumkan “Malaysia Madani: Tekad Perpaduan, Penuhi Harapan” sebagai tema Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia tahun ini dengan mengangkat Malaysia Madani sebagai logo rasmi.
Sumber I FMT Malaysia
........
Komen: ........
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |
No comments
Post a Comment