PETALING JAYA – Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Tahun 2023 akan bermula pada 5 Disember 2023 hingga 7 Mac 2024.
Menerusi pemakluman Kementerian Pendidikan (KPM), jadual waktu peperiksaan SPM Tahun 2023 mengambil kira setiap perkara termasuk jumlah hari persekolahan serta Hari Kelepasan Am Persekutuan dan Negeri.
Berdasarkan hantaran tersebut, pada 5 hingga 7 Disember ialah Ujian Amali Sains, Ujian Bertutur Bahasa Melayu (8-11 Januari 2024), Ujian Bertutur Bahasa Inggeris (17-23 Januari 2024), manakala Ujian Mendengar Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris (29 Januari 2024).
Seterusnya Ujian Bertulis pula dari 30 Januari hingga 7 Mac 2024.
“Sila layari laman sesawang Lembaga Peperiksaan di pautan lp.moe.gov.my untuk maklumat lanjut dan muat turun Jadual Waktu Peperiksaan SPM Tahun 2023,” kata hantaran KPM, hari ini.
Semalam, Kosmo! melaporkan KPM akan mengeluarkan kenyataan media rasmi berkaitan peperiksaan SPM 2023 yang dikatakan bermula lebih awal pada 5 Disember depan. – KOSMO! ONLINE
No comments
Post a Comment