NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Pengundi muda perlu celik tanggungjawab mengundi, PRN penentu hala tuju negara



Setelah penat seharian bekerja, sudah menjadi kebiasaan bagi pelbagai lapisan rakyat Malaysia untuk melepak waktu malam bersama rakan-rakan di restoran mamak sambil berborak dan pekena teh tarik.

Pengundi muda memainkan peranan penting pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini dengan pertambahan daftar pemilih yang signifikan akan mencorak pola keputusan calon yang bertanding di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN).

Dengan bahang kehangatan kempen bagi PRN di enam negeri iaitu Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Kelantan dan Terengganu masih terasa, maka cakap-cakap politik tidak pernah lekang daripada bibir rata-rata pelanggan kedai Mamak, lapor Bernama.

Seorang rakan penulis, berusia lewat 20-an ketika asyik minum teh tarik, secara tiba-tiba bertanya: “Kenapa aku kena balik kampung mengundi, sedangkan aku baharu sahaja mengundi, kurang setahun lepas?.

Apa yang membuatkan penulis terkejut ialah beliau bukan sahaja keliru antara Pilihan Raya Umum dengan PRN, malah kebanyakan rakan-rakannya juga begitu, dengan rata-rata mereka sudahpun memutuskan untuk tidak pulang ke kampung mengundi hujung minggu ini dengan alasan mereka baru sahaja menunaikan kewajipan sivik mengundi, sebelum ini.

Hanya tinggal empat hari menjelang hari pengundian pada Sabtu (12 Ogos), Pensyarah Kanan Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Dasar, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Sarawak Dr Nur Aida Kipli berkongsi kebimbangan mengenai sikap tidak peduli (buta politik) belia yang dilihat bukan sahaja boleh menjejaskan peratusan keluar mengundi, malah keputusan pilihan raya.

“Keengganan golongan muda (mengundi) ialah kerana mereka tidak nampak relevannya untuk mereka mengundi pada PRN kali ini. Ini kerana mereka kurang pendedahan politik tentang kepentingan dan signifikanya pilihan raya negeri.

“Belia cenderung percaya bahawa peranan mereka tidak penting dan mereka tidak nampak dalam gambaran besar mengapa PRN memainkan peranan penting dalam komuniti mereka?,” katanya kepada Bernama.

Seramai 9.67 juta pengundi akan mengundi Sabtu ini di enam negeri.

Lebih separuh daripada jumlah pengundi itu merupakan belia di bawah umur 39 tahun dengan 661,905 pengundi berumur antara 18-20 tahun, 2.16 juta (berumur 21-29) dan sebanyak 2.16 juta (berumur 30-39).

Dilaporkan bahawa enam negeri memutuskan untuk tidak mengadakan PRN serentak dengan Pilihan Raya Umum ke-15 baru-baru ini kerana perlu bersiap-sedia menghadapi banjir pada musim tengkujuh, manakala baki tujuh negeri lagi telah mengadakan PRN dalam tempoh dua tahun lepas.

Sabah mengadakan PRN pada September 2020; Melaka dan Sarawak masing-masing pada November 2021 dan Disember 2021; Johor pada Mac 2022. Sementara Pahang, Perlis dan Perak mengadakan PRN serentak dengan PRU ke-15 pada November 2022.

Secara tradisinya, PRN sepatutnya diadakan serentak dengan PRU dengan Ahli Dewan Undangan Negeri dan Ahli Parlimen akan berkhidmat selama lima tahun tetapi setiap negeri boleh memutuskan bila untuk mengadakan PRN.

Melihat scenario ini, Nur Aida menyarankan kempen kesedaran perlu ditingkatkan tiga kali ganda oleh pihak media, agensi kerajaan, institusi pendidikan, dan badan bukan kerajaan, supaya pengundi yang layak benar-benar faham akan tanggungjawab mereka untuk mengundi dalam PRN kali ini.

Sementara itu, Naib Presiden Majlis Belia Malaysia Mohamed Khairul Azman Abdul Azeez berkata adalah sesuatu yang merugikan apabila golongan belia tidak menyedari tanggungjawab mereka dan tidak peduli tentang pilihan raya.

Mengakui berdepan masalah yang sama semasa bertemu dengan beberapa belia, beliau menyeru mereka supaya menyedari potensi sebenar diri mereka dalam memilih pemimpin yang betul yang boleh memberi impak besar kepada masa depan mereka.

“Ini kerugian besar, ia bukan hanya soal proses demokrasi, tetapi juga kerugian anak-anak muda yang hari ini diberi keutamaan dan kelebihan mengundi pada usia 18 tahun, dan menjadi tanggungjawab orang muda untuk terlibat bagi menentukan hala tuju enam negeri,
namun tidak merebut peluang tersebut,” katanya.

Mohamed Khairul Azman juga mencadangkan mata pelajaran demokrasi diajar di sekolah supaya apabila pelajar yang tamat Tingkatan Lima dan layak mengundi, sedar akan tanggungjawab mereka sebagai pengundi dalam pilihan raya.

“Untuk MBM sendiri, kita bersama lebih 40 badan gabungan lain, kita guna cara sendiri seperti penglibatan menerusi media sosial, penerangan. Kita ada keluarkan juga infografik, penglibatan dengan sekolah dan universiti.

“Tetapi sudah semestinya, sekadar mana kita mampu. Apa yang lebih penting, kita perlukan intervensi kerajaan khususnya, Kementerian

Pendidikan serta Kementerian Belia dan Sukan untuk pastikan pendidikan demokrasi yang perlu, dilaksanakan di sekolah menengah supaya ia jadi asas bila pelajar keluar dari sekolah dia ada asas secukupnya,” katanya.


Sumber I Agenda Daily 



........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo