NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Pecahan politik legasi di Malaysia

Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi bersama anak perempuannya Nurulhidayah. Gambar: Instagram


Najib Razak berusia 23 tahun ketika bapanya, perdana menteri Malaysia kedua meninggal dunia akibat penyakit leukemia.

Berita pemergian bapanya, Abdul Razak Hussein itu mengejutkan seluruh negara.

Najib kemudiannya menjadi calon "segera" bagi mengisi kekosongan kerusi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) di Parlimen Pekan.

Ketika itu, ramai yang memandang Najib sebagai "budak mentah" untuk menggantikan peranan bapanya sebagai ahli politik.

Beberapa dekad berlalu, Najib diangkat sebagai perdana menteri keenam selepas perkhidmatan Abdullah Badawi yang dikenali sebagai Pak Lah sekali gus meneruskan legasi kepimpinan bapanya dalam arena politik negara.

Kini, Najib dihantar ke dalam penjara selama 12 tahun atas kesalahan pecah amanah dan salah guna kuasa.

Di luar, legasi politik Najib sepi. Usaha anak-anaknya untuk raih sokongan langsung tidak kelihatan.

Najib dan isterinya, Rosmah Mansor memiliki empat orang anak dan tiga orang kini terpilih menjawat jawatan dalam pemilihan Umno pada Mac lalu.

Pemerhati bebas, Akwa Mahzan berkata politik legasi berfungsi melalui simpati yang diberikan oleh para penyokong kepada seseorang tokoh disebabkan dua faktor utama.

Pertama, katanya, peribadi yang ditunjukkan oleh seseorang individu itu.

Keduanya adalah perjuangan yang dibawa sepanjang perjalanan politik tokoh tersebut.

"Politik legasi atau politik anak beranak ini tentang siapa yang pandai raih simpati.

"Kalau dalam konteks Nurul Izzah Anwar, orang kesian ayahnya disebabkan gerakan reformasi, Khairy Jamaluddin kerana menantu Pak Lah yang kini dengan keadaan kesihatannya.

"Najib pula disebabkan kesnya sehingga masuk penjara.

"Tetapi Ahmad Zahid Hamidi, orang tak kasihan, bahkan orang melihatnya sebagai satu pengkhianatan," katanya kepada MalaysiaNow.

Selain anak-anak Najib, Akwa yang juga bekas penyelidik di Initiate.my berkata anak perempuan kepada Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi juga dilihat gagal untuk meneruskan legasi politik bapanya.

Katanya, ianya jelas apabila Nurulhidayah Zahid kalah dalam pemilihan ketua wanita Umno Bahagian Bagan Datuk di mana bapanya sendiri merupakan ahli Parlimen di situ.

"Menang (pemilihan) pusat tapi kalah di tempat ayahnya sendiri."

Jenis-jenis politik legasi di Malaysia

Menurut Akwa, semua anak-anak ahli politik mampu meneruskan beri pengaruh dan legasi masing-masing tetapi faktor penolakan oleh rakyat itu sangat jelas termasuk di kawasan-kawasan yang menjadi tempat keluarga menabur bakti.

Ini disebabkan sentimen di kawasan itu yang sukar untuk dikawal dan diperluaskan.

Katanya, Nurulhidayah turut gagal untuk membersihkan imej dirinya sendiri disebabkan beberapa kenyataan kontroversi sebelum ini.

"Contohnya secara terbuka berkata golongan wanita tak dilahirkan untuk menjadi pemimpin apatah lagi menjernihkan imej bapanya yang terpalit dengan puluhan tuduhan rasuah di mahkamah."

Akwa berkata, terdapat beberapa jenis politik legasi yang dikesan dalam negara.

Antaranya hubungan antara anak dan ibu bapa seperti yang diketahui umum seperti Nurul Izzah dengan bapanya Anwar Ibrahim dan ibunya, Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Selain itu, anak ahli politik seperti anak lelaki bekas presiden PAS, Fadzil Noor iaitu Muhammad Faiz Fadzil yang kini bersama Amanah dan pernah bertanding kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang Pasir pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Antara lain, hubungan antara menantu dan ahli politik seperti Khairy dan bekas perdana menteri kelima, Pak Lah.

Sehingga kini, meskipun bapa mertuanya sudah lama meninggalkan ruang politik, Khairy masih meneruskan legasi politik keluarga malahan dilihat kekal relevan untuk dirinya sendiri.

Akwa menegaskan perjalanan legasi yang dibawa oleh Khairy mampu berkembang dan berterusan disebabkan jejak yang ditinggalkannya sewaktu menjawat jawatan-jawatan penting dalam kerajaan.

"Sepanjang beliau menjadi menteri di Kementerian Belia dan Sukan, Kementerian Kesihatan atau mana-mana portfolio, apa yang rakyat tak ingat pasal Khairy dan kejayaannya?

"Orang mungkin kaitkan ianya samalah juga dengan Nurul Izzah. Tapi sekurang-kurangnya, jawatan-jawatan itu diberikan kepada orang yang betul dan legasi itu boleh berjalan."

Akwa juga tidak menolak kenyataan bahawa amat kurang pemerhatian yang diberikan Khairy kerana beliau adalah menantu kepada Abdullah sebaliknya kerja-kerja yang pernah dilakukan sebelum ini.

Beliau menambah, tidak dilupakan juga hubungan anak beranak dalam "dinasti" DAP seperti anak-anak pemimpin veteran parti itu, Lim Kit Siang.

"Kita nak cakap politik legasi ni yang macam mana? Ayah yang bagi atau bagaimana?

"Kalau rakyat yang mengangkat seseorang itu sebagai wakil rakyat, itu bukannya satu nepotisme tapi demokrasi kerana orang masih nak mengundi.

"Tetapi, kita boleh mentafsirkan, apakah bentuk kemenangan itu. Menang tipis atau menang besar."

"Mengenal legasi itu benar, tapi kalau bertanding sesuatu pemilihan pun orang tak kenal, tak menjadi juga."

Katanya, kes itu boleh dilihat pada nasib Faiz yang malah di Pulau Pinang pada PRU14 lalu.

"Sama ada legasi itu tidak sampai atau tak kena pada tempatnya." 


Sumber I MalaysiaNow 






........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo