Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Nancy Shukri berkata pemasangan CCTV bagi tangani kes penderaan di premis taska. |
SEMATAN: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat sedang mempertimbang untuk menjadikan pemasangan sistem kamera litar tertutup (CCTV) sebagai syarat wajib dalam proses memperbaharui lesen premis taska.
Menterinya, Nancy Shukri berkata langkah penguatkuasaan itu perlu diambil bagi menangani kes penderaan kanak-kanak di premis taska, meskipun kerajaan sebelum ini sudahpun mewajibkan pemasangan CCTV kepada pengusaha taska di bawah Akta Taman Asuhan Kanak-Kanak 1984 dan Peraturan-Peraturan Taman Asuhan Kanak-Kanak 2012.
“Bagaimanapun, ada juga di antara mereka (pengusaha taska) yang tidak memasangnya walaupun sudah diminta supaya patuhi syarat itu. Jadi kami sedang berbincang untuk ambil tindakan dengan tidak memperbaharui lesen taska yang tidak memasang CCTV,” katanya dalam sidang media selepas Majlis Penangguhan Pesta Sematan.
Menurutnya, perbincangan berhubung perkara itu akan dilakukan melibatkan agensi, jabatan, dan pemain industri yang terlibat esok.
“Kos untuk pemasangan CCTV tidak sepatutnya menjadi isu kerana CCTV sekarang boleh didapati dengan harga yang murah. Oleh itu, kami nak mendengar maklum balas dan bagaimana kami akan perhalusi perkara ini, sebelum kami teruskan pelaksanaannya,” katanya.
Dalam pada itu, Nancy berkata langkah menutup taska terlibat kes penderaan perlu diteliti secara mendalam kerana ia akan turut memberi kesan kepada ibu bapa yang bekerja dan menghantar anak mereka ke taska terbabit.
“Kita akan memberi beban kepada ibu bapa (lain) jadi kita tidak boleh tutup begitu sahaja hanya kerana satu kes itu,” katanya.
Pada Jumaat, menteri itu berkata pihak kementerian merancang menguatkuasakan undang-undang CCTV di setiap premis taska berdaftar bagi menangani isu penderaan kanak-kanak.
Katanya, dalam enam bulan pertama tahun ini, Malaysia mencatatkan sejumlah 3,767 kes melibatkan kanak-kanak yang memerlukan pemeliharaan dan perlindungan.
Sumber I FMT Malaysia
........
Komen: ........
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |
No comments
Post a Comment