KUALA LUMPUR: Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Isham Jalil mendakwa UMNO akan terus kalah dan pupus menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) jika parti itu tidak berbuat sesuatu susulan kekalahan teruk dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) semalam.
Katanya, kepemimpinan parti perlu membuat pertimbangan semula dan berusaha memperbetulkan keadaan termasuk melakukan sesuatu yang drastik, kerana parti kini berada di keadaan yang getir dan kritikal.
"UMNO telah kalah lagi semalam. Kali ini kalah teruk, hanya menang 19 kerusi dari 108. Kita menang satu kerusi di Kelantan, dua di Pulau Pinang, dua di Selangor, dan 14 di Negeri Sembilan. Di 89 kerusi lain semua kita kalah.
"Kita perlu berbuat sesuatu. Jika tidak UMNO akan terus kalah dan akan pupus terus menjelang PRU-16. Kita perlu melakukan sesuatu yang drastik, kerana kita kini berada di keadaan yang getir dan kritikal.
"Saya dan akar umbi sudah berusaha sedaya upaya di bawah. Kini kepimpinan perlu membuat pertimbangan semula dan membuat keputusan.
"Jika kita tidak berbuat apa-apa, kita dan perjuangan UMNO akan lenyap di bumi Allah ini. Kita perlu bangun," katanya dalam kenyataan di media sosialnya, hari ini.
Tanpa menyatakan perkara yang perlu dilakukan UMNO, Isham bagaimanapun menegaskan ada tiga isu yang selalu dikemukakan akar umbi dalam siri jelajahnya ke seluruh negara.
Pertama, katanya berkenaan kerjasama UMNO dengan DAP melalui Pakatan Harapan (PH) dalam Kerajaan Perpaduan, kedua mengenai Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan ketiga berkenaan bekas Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak.
Beliau menjelaskan, dalam isu berkenaan DAP, beliau sudah banyak kali menyatakan perkara itu amat sensitif kepada akar umbi.
"Jika kita paksa akar umbi kita undi DAP, mereka akan bantah dan besar kemungkinan tidak akan keluar mengundi, atau lebih teruk mereka protes dan undi Perikatan Nasional (PN). Ini yang berlaku di enam negeri ini.
"Di Selangor, undi yang calon PN bertanding menentang calon kita, calon PN telah mendapat undi lebih banyak berbanding ketika mereka bertanding di bawah tiket PKR dulu.
"Ini bermaksud, bukan sahaja penyokong lama PKR menyokong mereka, namun orang UMNO pun mengundi mereka juga. Ini adalah satu tamparan hebat kepada UMNO," katanya.
Justeru, beliau menegaskan bagi menyelesaikan isu DAP, UMNO mempunyai dua pilihan sama ada terus bekerjasama dengan mereka dalam kerajaan dan pilihan raya, atau bekerjasama hanya dalam kerajaan dan bukan pilihan raya.
"Dengan pilihan kedua itu, kita mungkin boleh membina semula parti kita dengan mengekalkan ideologi dan perjuangan kita, walaupun mula-mula mungkin kita kalah atau tidak menang besar, namun demikian dengan ini kita dapat kekalkan akar umbi kita dan sedikit demi sedikit memenangi semula hati rakyat.
"Jika tidak, akar umbi kita akan lari ke parti lain, dan nasib kita akan jadi seperti pepatah yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran. Untuk mengejar 500 undi DAP, kita hilang 5,000 undi Melayu dan hilang akar umbi. Jika kita hilang akar umbi parti kita akan mati. Ini tidak bijak malahan bahaya," katanya.
Isham juga menjelaskan bagi menangani isu berkenaan Presiden beliau mengakui bukan orang Presiden, namun menghormati institusi itu.
"Saya mohon supaya presiden dapat berjumpa akar umbi sendiri sehingga ke peringkat bawah di akar umbi dan berdialog dengan mereka untuk menjernihkan yang keruh dan memperbaiki keadaan," katanya.
Mengenai Najib, beliau berkata sudah beberapa kali membangkitkan pentingnya kehadiran bekas Presiden UMNO untuk membantu kempen pilihan raya UMNO-Barisan Nasional (BN) yang mana parti mempunyai peluang yang lebih cerah untuk menang.
"Namun Datuk Seri Najib masih di dalam penjara sudah setahun kini, dan walaupun kita dalam kerajaan, belum lagi nampak keadilan untuknya,
"Datuk Seri Najib kerap kata kepada saya, dia bukan mahu kesnya digugurkan, dia hanya mahu mendapat perbicaraan yang adil.
"Sehingga kini dia tidak dapat perbicaraan yang adil kerana hakim-hakim yang mengadili dan mensabitkan kesalahan kepadanya adalah berat sebelah dan ada yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dengan kes yang diadili," katanya.
Justeru, katanya beliau sudah mencadangkan supaya kerajaan membenarkan tahanan di rumah untuk sementara beliau menjalani proses pengampunan atau perbicaraan semula atau sebagainya.
No comments
Post a Comment