BEKAS Exco Pemuda UMNO, Datuk Muhamad Muqharabbin Mokhtarrudin mengumumkan menyertai Perikatan Nasional (PN) hari ini sekali gus keluar daripada UMNO.
Beliau berkata, keputusan itu dibuat setelah merasakan perjuangannya berhubung prinsip ‘No DAP’ dan ‘No Anwar’ setelah Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) hanya sia-sia.
“Apa guna mesyuarat tiap-tiap bulan akhirnya ditipu hidup-hidup dan diperbodohkan.
“Saya lebih percaya kepada kekuatan Muafakat Nasional (MN) yang sewajarnya menerajui negara tetapi apakan daya, segelintir pemimpin UMNO telah merosakkan segala usaha yang dibina.
“Saya memilih masuk PN hari ini selepas hari penamaan calon agar rakyat tahu, saya bukanlah mengejar jawatan dan calon sebaliknya ingin memperkukuhkan penyatuan bangsa Melayu,” katanya menerusi hantaran dalam Facebook miliknya hari ini.
Bekas Ketua Pemuda Lembah Pantai itu berkata, meskipun tidak lagi bersama UMNO, parti itu akan sentiasa dihormati dan sayangi.
Beliau mengucapkan terima kasih tidak terhingga kepada semua dalam UMNO yang pernah bersama-sama berjuang.
“Ini kerana ia adalah pengalaman dan kenangan kita yang tidak dapat dijual beli dengan wang ringgit.
“Lagi-lagi ketika kita kali pertama menjadi pembangkang. Habis semua kita bergadai bersama bersengkang mata membawa parti kembali bernyawa.
“Saya masih ada kawan-kawan dalam UMNO yang hebat dan baik dan mereka tetap sahabat saya. Mana tahu esok lusa PN dan BN kembali bergabung kan,” ujarnya.
Katanya lagi, tindakan keluar daripada UMNO dibuat dengan cara baik bukannya keluar Islam.
“Jadi saya pesan, jadilah orang yang memperjuangkan Islam dan orang Melayu yang beradab dan bermaruah,” katanya, lapor Sinar Hariaan.
Beliau juga menggesa kerajaan menunaikan janji kepada pengundi dan rakyat kerana apa yang terjadi kini adalah sebaliknya.
“Yang baik saya sokong yang tidak betul saya perlu suarakan asalkan rakyat mendapat manfaat.
“Kos sara hidup meningkat, ekonomi merudum, ringgit jatuh teruk, minyak tak turun-turun, gaji tidak naik, elektrik naik, OPR (Kadar Dasar Semalaman) bank mencanak, harga barang tidak mampu dikawal, akhirnya rakyat jadi mangsa,” katanya.
No comments
Post a Comment