BANGI, 28 Muharram 1445H, Selasa – PAS percaya pendakwaan ke atas Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin adalah satu bentuk pemangsaan politik yang terancang untuk melemahkan Perikatan Nasional (PN).
Bahkan, parti itu juga yakin bahawa tindakan terhadap Muhyiddin adalah bagi menutup aib dan mengalihkan perhatian rakyat daripada isu yang berlaku dalam UMNO sebagai sebahagian kerajaan Pakatan Harapan (PH)-Barisan Nasional (BN) di bawah Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, sebagai sekutu Bersatu di dalam PN, sememangnya pendakwaan ke atas bekas Perdana Menteri itu adalah perancangan untuk melemahkan gabungan parti politik berkenaan.
“… namun saya tidak nampak ia akan menjejaskan prestasi kita, malah telah menambahkan lagi sokongan kepada kita dalam pilihan raya negeri di enam buah negeri Sabtu lalu.
“PAS menentang sekeras-kerasnya penyalahgunaan agensi penguat kuasa sebagai alat untuk mencapai tujuan politik,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Terdahulu, Mahkamah Tinggi membatalkan empat pertuduhan menggunakan kedudukan untuk suapan berjumlah RM232.5 juta yang dihadapi Muhyiddin.
Dengan keputusan itu, beliau yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) dilepas dan dibebaskan daripada keempat-empat pertuduhan yang dihadapinya.
Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin memutuskan demikian selepas berpuas hati, keempat-empat pertuduhan adalah cacat, tidak berasas dan kabur.
Mahkamah berpendapat, jika perbicaraan diteruskan akan menyebabkan Muhyiddin tidak dapat menyediakan pembelaan sewajarnya dan menjadikan pendakwaan terhadapnya sebagai satu penyalahgunaan proses mahkamah.
Menyambut baik keputusan mahkamah, Takiyuddin berkata, PAS sejak awal sudah menjangkakan perkara itu kerana yakin bahawa yang dikenakan ke atas Muhyiddin adalah pertuduhan terpilih dan berbaur politik.
“Alhamdulillah, PAS bersyukur dan mengalu-alukan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang telah melepas dan membebaskan Pengerusi Perikatan Nasional, Tan Sri Muhyiddin Yassin daripada empat pertuduhan guna kedudukan untuk suapan berjumlah RM232.5 juta yang dikaitkan dengan program Jana Wibawa.
“PAS berdoa semoga Tan Sri Muhyiddin Yassin akan selamat dan dipelihara oleh Allah,” katanya.
........
Komen: ........
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |
No comments
Post a Comment