NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Muda Kedah: Keputusan PRN Kedah isyarat rakyat tolak PH-BN


Muda Kedah ingin mengulas hasil pilihan raya baru-baru ini dan mengukuhkan komitmen kami terhadap nilai dan matlamat yang telah dibentuk sepanjang perjalanan kami sejauh ini.

Walaupun Muda Kedah tidak meletakkan calon dalam pilihan raya negeri (PRN) Kedah, keputusan yang dihadapi oleh calon-calon di PRN kali ini amat dirasai oleh kami kerana mereka terdiri daripada rakan-rakan seperjuangan yang bertanding di bawah bendera parti Muda.

Kemenangan Perikatan Nasional (PN) di negeri Kedah, dengan meraih 33 daripada 36 kerusi DUN, memberikan isyarat jelas bahawa pengundi merasa kecewa dan mula menolak kerjasama terhadap pentadbiran Pakatan Harapan-Barisan Nasional (PH-BN).

Perubahan landskap politik di Kedah ini amatlah merisaukan kerana sesebuah kerajaan memerlukan keseimbangan politik yang dapat memberikan semak dan imbang yang baik untuk menjadikan pentadbiran di sesebuah negeri itu berkesan dan memberi manfaat kepada rakyat.

Melihat kepada perubahan ini, Muda Kedah menyeru kepada semua parti politik untuk berhenti menyalahkan dan mencipta provokasi kritikal yang boleh mengganggu kestabilan negara.

Tindakan seperti ini hanya membawa kesan negatif terhadap kestabilan ekonomi dan mangsa sebenar dalam situasi ini adalah rakyat, bukannya ahli politik.

Marilah kita memberi tumpuan kepada perancangan yang konstruktif dan inklusif bertujuan untuk meningkatkan hasil yang baik kepada masyarakat kita dan mencipta persekitaran politik yang lebih harmoni.

Muda Kedah akan kekal teguh dan optimis untuk menjadi suara semak dan imbang yang penting bagi negeri Kedah. Kami akan kekal berdedikasi untuk menyediakan perspektif dan alternatif kepada kerajaan negeri dalam memastikan keputusan yang diambil dalam kerajaan dibuat dengan baik dan memberikan manfaat kepada rakyat.

Kami percaya bahawa demokrasi yang berkembang memerlukan kepelbagaian suara yang lantang dan bernas sebagai cara untuk memastikan penglibatan yang menyeluruh dari pelbagai segmen masyarakat.

Untuk bergerak ke hadapan, kami mengajak semua ahli Muda di Kedah untuk bersama-sama berganding bahu dan menyertai kami di Jawatankuasa Eksekutif Negeri Kedah. Bersama, kita dapat membina platform yang lebih kukuh untuk mewakili aspirasi dan keperluan rakyat Kedah.

Komitmen Muda Kedah terhadap kemajuan, perpaduan, dan khidmat akan menjadi pendorong utama dalam usaha kita memperkukuhkan demokrasi dan menjana perubahan positif.

Dengan kehadiran setiap ahli Muda Kedah dalam Jawatankuasa Eksekutif Negeri, kita akan memiliki peluang dan ruang yang lebih besar untuk mengumpulkan pandangan pelbagai lapisan masyarakat dan menjalin idea yang menghasilkan dasar-dasar yang lebih inklusif dan berdaya tahan.


MUHAMMAD FAQRUL ASYRAF MOHD FAIZOL
merupakan pengerusi Muda Kedah.


........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo