Misbun (kanan), Mohamad Norza - Foto Berita Harian |
KUALA LUMPUR - Legenda badminton negara Datuk Misbun Sidek menerima permohonan maaf Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Tan Sri Mohamad Norza Zakaria berhubung kemelut yang tercetus antara beliau dan badan induk itu baru-baru ini.
Pengurus peribadi Misbun, Nor Kamal Ahmad berkata, jurulatih berusia 63 tahun itu lega dengan penjelasan Mohamad Norza dan tidak mahu memanjangkan lagi kemelut dengan BAM.
Namun, bekas Pengarah Kejurulatihan Perseorangan Remaja Akademi Badminton Malaysia (ABM) itu belum membuat keputusan sama ada menerima atau sebaliknya tawaran Mohamad Norza untuk kembali melatih skuad muda negara mengikut kontrak asalnya sehingga hujung tahun ini.
"Sehingga ini belum ada surat tawaran daripada BAM, kerana surat penamatan kontrak sudah diterima pada Jumaat lepas.
"Jika ada tawaran surat, Datuk Misbun akan mempertimbangkan keputusannya berdasarkan perincian surat berkenaan,” katanya ketika dihubungi Bernama pada Khamis.
Nor Kamal berkata, Misbun juga tidak bersedia untuk bertemu media dan mahu berehat buat sementara.
Jumaat lepas, Jawatankuasa Khas BAM diketuai Timbalan Presidennya Datuk V. Subramaniam pada satu sidang media memaklumkan mencapai persetujuan bersama Misbun untuk berpisah susulan prestasi hambar skuad badminton remaja di Kejohanan Remaja Asia yang berlangsung di Jogjakarta, Indonesia, baru-baru ini.
Bagaimanapun, Misbun pada sidang media pada Isnin menafikan perkara itu, malah mendakwa dia diberhentikan tanpa sebarang pembelaan dan bukan persetujuan bersama.
Berikutan itu, semalam, Mohamad Norza membuat permohonan maaf secara terbuka menerusi sidang media dan melangkaui keputusan jawatankuasa khas dengan menawarkan kepada Misbun untuk menghabiskan kontrak asal bersama ABM hingga hujung tahun ini. - Bernama.
........
Komen: ........
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |
No comments
Post a Comment