Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) N24 Jeneri, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mengumumkan keputusan kemenangan sempena Pilihan Raya Umun Dewan Negeri (DUN) Negeri Kedah di Kompleks PAS Kota Sarang Semut Alor  Setar Kedah, semalam. - Foto NSTP/L.MANIMARAN
Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) N24 Jeneri, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mengumumkan keputusan kemenangan sempena Pilihan Raya Umun Dewan Negeri (DUN) Negeri Kedah di Kompleks PAS Kota Sarang Semut Alor  Setar Kedah, semalam. - Foto NSTP/L.MANIMARAN

ALOR SETAR: Majlis pelantikan dan angkat sumpah Menteri Besar Kedah dijadual berlangsung di Istana Anak Bukit, pagi esok.

Berdasarkan surat jemputan media yang dikeluarkan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah hari ini, majlis itu dijadual berlangsung di Balai Mengadap Besar Istana Anak Bukit, di sini kira-kira jam 9 pagi.

Majlis angkat sumpah di hadapan Sultan Kedah, Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah itu akan turut dihadiri Setiausaha Kerajaan Kedah, Datuk Norizan Khazali.

Semalam, Perikatan Nasional (PN) mengekalkan penguasaan di Kedah selepas memenangi 33 daripada 36 kerusi Dewan Undangan negeri (DUN) dipertandingkan.

Daripada jumlah itu, PAS menguasai paling banyak dengan 21 kerusi, diikuti BERSATU dengan 11 kerusi dan satu milik GERAKAN.

Hanya tiga kerusi dikuasai Pakatan Harapan (PH) iaitu satu melalui DAP dan dua PKR. Barisan Nasional (BN) gagal meraih sebarang kerusi.

Terdahulu, Pengerusi PN Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor memaklumkan senarai nama calon Menteri Besar Kedah akan diuruskan kepemimpinan tertinggi PN dalam masa terdekat.

Beliau yang mengekalkan penguasaan di kerusi DUN Jeneri dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) semalam berkata sehingga menteri besar baharu dilantik, beliau akan menguruskan segala urusan kerajaan negeri selaku Menteri Besar sementara.

"Parti sedang uruskan semua, saya sendiri tidak tahu nama siapa yang ada...tak tahu nama saya ada dalam senarai atau tidak, tetapi saya akan pegang jawatan menteri besar sementara sehingga menteri besar yang baharu dilantik," katanya ketika sidang media di Kompleks PAS di sini, malam tadi.

Sementara itu spekulasi timbul mengenai beberapa nama calon Menteri Besar Kedah yang baharu sekiranya Muhammad Sanusi tidak dilantik semula.

Antaranya termasuk bekas EXCO Kesihatan negeri yang juga antara pemimpin kanan PAS Kedah, Datuk Dr Mohd Hayati Othman yang menang bergaya di DUN Tokai pada PRN semalam.

Timbalan Pesuruhjaya PAS negeri berusia 66 tahun yang pernah menjadi Ahli Parlimen Pendang sebelum ini, mempunyai pengalaman luas dalam pentadbiran negeri termasuk pernah berkhidmat di bawah bekas Menteri Besar, Allahyarham Tan Sri Azizan Abdul Razak.

Turut disebut-sebut Setiausaha Bahagian BERSATU Kuala Kedah yang juga Pengerusi Yayasan Salleh Saidin, Datuk Mohd Salleh Saidin yang menang DUN Kubang Rotan, selain bekas Naib Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr Hail Hilman Abdullah yang menang di DUN Jitra.