NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Kes Iki Putra cabaran kepada perundangan Islam

Assalamualaikum. Mohon semua utk luangkan sedikit masa utk menelusuri penulisan sahabat saya, Tuan Yusfarizal Yusof seperti di bawah.

Dalam masa semua pihak sedang sibuk berkempen, ramai alpa bahawa pada 17 OGOS 2023 ini akan ada suatu keputusan besar di Mahkamah Persekutuan Malaysia berkaitan masa depan enakmen shariah negeri2 seluruh Malaysia. Kami rakan2 peguam terutama peguam Muslim bertanggungjawab untuk menyebarkan pemahaman berkaitan isu besar yang berkaitan langsung dengan umat Islam di Malaysia. Mari kita bersama pertahankan undang-undang shariah di Malaysia.

KES NIK ELIN - ASAS 101

1. Dalam Perlembagaan Persekutuan (PP) ada kuasa diberikan kepada Persekutuan, ada kepada negeri. Ia dipersetujui sejak merdeka.

2. Antara kuasa negeri (DUN) adalah untuk membuat undang-undang tentang kesalahan dan hukuman jenayah bertentangan hukum syarak keatas orang Islam. (Rujuk Jadul Kesembilan PP).

3. Negeri-negeri telah lama membuat enakmen untuk membendung kesalahan jenayah syariah seperti liwat, khalwat, judi, arak dan banyak lagi. Semua ini bertentangan Hukum Syarak.

4. Pada tahun 2021, Iki Putra di tuduh atas kesalahan liwat di Mahkamah Syariah. Dia tidak puas hati lalu mencabar peruntukan jenayah syariah liwat Selangor. Hujahnya, Negeri Selangor tiada kuasa kerana kesalahan jenayah adalah KUASA PERSEKUTUAN, dan dalam undang-undang Persekutuan (Kanun Keseksaan) telah ada kesalahan liwat.

5. Ketika itu, kita hairan kenapa Iki Putra mahu cabar kesalahan Syariah sedangkan kesalahan liwat di Mahkamah Syariah hukumannya jauh lebih rendah daripada hukuman dalam Kanun Keseksaan. Takkanlah dia mahu hukuman lebih berat? Akhirnya baru kita faham, ia bukan tentang hukuman, ia tentang MENCABAR UNDANG-UNDANG ISLAM.

6. Mahkamah Persekutuan (Mahkamah tertinggi) setuju dengan Iki Putra. Mahkamah batalkan peruntukan jenayah liwat di Selangor. Mahkamah kata Negeri Selangor tiada kuasa pun untuk buat undang-undang tersebut. 

7. Selesai kes Iki Putra

8. Ketika itu saya dan rakan-rakan telah bayangkan banyak lagi undang-undang jenayah Syariah akan cuba dibatalkan. Ini kerana, keputusan Iki Putra membuka pintu seluas-luasnya untuk cabaran ini.

9. Sangkaan kami tepat. Pada Mei 2022, Nik Elin pula memfailkan permohonan untuk batalkan 21 kesalahan jenayah Syariah Negeri Kelantan. Antaranya termasuk liwat, persetubuhan dgn mayat dan bukan manusia, musnahkan tempat ibadat, judi, arak dan banyak lagi. Permohonan itu bersandarkan kepada keputusan Iki Putra. Bahawa Negeri Kelantan pula tiada kuasa untuk buat undang-undang tersebut. 

10. Pendengaran kes Nik Elin ditetapkan pada 17 Ogos 2023. Kalau Mahkamah Persekutuan bersetuju dengan permohonan tersebut, maka 21 kesalahan tersebut akan dibatalkan. 

11. Namun yang lebih parah, pintu itu akan diluaskan lagi, dan “NO TURNING BACK”. Saya pasti kesemua jenayah syariah di semua negeri akan mula dicabar dan terus dicabar. Kita tidak tahu apa lagi yang tinggal nanti.

12. Saya menjangkakan, kemungkinan Perkara 121(1A) juga akan dicabar nanti kerana Mahkamah Persekutuan sudahpun sebelum ini menyatakan (dalam kes Indira Gandhi) bahawa Mahkamah Syariah ini adalah “inferior tribunal” - tribunal bawahan sahaja. Nauzubillah.

13. Teruskan usaha memahamkan masyarakat dan bergerak sekadar mampu. Apa boleh anda lakukan?:-

a. Sekiranya anda ahli politik, pemimpin masyarakat dan anggota pentadbiran kerajaan - buatlah desakan di Parlimen, DUN atau di institusi berkaitan untuk betulkan keadaan. Bincanglah antara Negeri dan Persekutuan untuk capai satu konsensus. Kalau perlu pinda Perlembagaan untuk jelaskan perkara ini, pindalah. 

b. Kalau anda peguam - turut sertalah dalam kajian dan hujahan kes-kes sebegini. Ada banyak ruang dan peluang untuk menyertai.

c. Kalau anda ahli akademik - buatlah kajian dsb tulislah kertas-kertas ilmiah tentang isu ini. Ramai juga yang saya tahu membuat kajian di peringkat PHD tentang isu perlembagaan sebegini.

d. Kalau anda NGO - buatlah kempen-kempen kesedaran dan desakan

e. Kalau anda orang awam yang tidak berkait dengan undang-undang - cuba fahami isu ini dahulu, bincang dgn rakan-rakan. Anda boleh sebarkan maklumat ini sejauh mungkin, dan turut serta. Mungkin menandatangai petisyen dan/atau kongsi hantaran-hantaran berkaitan. Doa kalian juga amatlah diperlukan.

Semoga Allah memudahkan segala urusan. Kepada Dia jua kita berserah.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo