NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Kedah hulur lembaran baharu kepada Kerajaan Persekutuan

ALOR SETAR: Kerajaan negeri Kedah sedia membuka lembaran baharu hubungan dengan Kerajaan Persekutuan susulan keputusan rakyat memilih Perikatan Nasional (PN) bagi mewakili mereka pada pilihan raya negeri (PRN) yang berakhir, Sabtu lalu.

Menteri Besarnya, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berharap segala urusan selepas ini dilakukan mengikut prosedur kerajaan yang sepatutnya tanpa menjadikan keputusan PRN untuk ‘menghukum’ rakyat negeri ini.

“Saya sudah bersedia untuk lembaran baharu. Kalau mereka (kerajaan Pusat) bersedia, Alhamdulillah. Tetapi kalau mereka masih simpan (dendam) di dalam hati, tak tahu lah.

“Mana boleh simpan dalam hati hal-hal pemerintahan kerajaan, urusan kena ikut prosedur kerajaan. Hal-hal hati tak boleh bawa masuk ke dalam itu,” katanya pada sidang akhbar pertama pasca PRN di pejabatnya di Wisma Darul Aman, di sini hari ini.

Terdahulu, beliau yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Kedah mengangkat sumpah jawatan Menteri Besar di hadapan Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah di Istana Anak Bukit, di sini.

Muhammad Sanusi berkata, kepimpinan Kerajaan Persekutuan perlu memberikan tumpuan yang sama kepada semua negeri termasuk yang ditadbir pembangkang.

“Tak kan pilihan rakyat nak dimarah pula kan, menghukum rakyat Kedah kerana rakyat pilih PN, mana boleh macam itu, (pilihan raya) ini (proses) demokrasi. Duduk dalam politik sudah berpuluh tahun tapi demokrasi tak faham, tak boleh begitu. Rakyat buat pilihan kemudian kita hukum dia, kena ingat dosa pahala sama,” tambahnya. 

Sebelum ini, hubungan Muhammad Sanusi dengan Kerajaan Persekutuan termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan beberapa menteri Kabinet dilihat tegang susulan kelantangannya mengkritik pentadbiran negara terutama sepanjang kempen PRN.

Dalam perkembangan lain, beliau memaklumkan pelantikan 10 Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Kedah akan dibuat secepat mungkin dan akan diselesaikan dalam minggu ini setelah nama-nama calon itu ditentukan oleh kepimpinan parti-parti komponen dalam PN.

“Kita akan adakan mesyuarat parti petang ini dan saya akan tengok nama-nama yang dicadang itu sebelum memilih mereka yang mampu untuk melaksana dan menterjemahkan Pelan Pembangunan Kedah 2035. 

“Tetapi, memang susah untuk memilih kerana kesemua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) ada kelayakan yang baik. Jumlah Exco masih sama iaitu 11 orang termasuk saya dan portfolio mungkin ada penyesuaian mengikut keperluan semasa,” katanya.

Sementara itu, Muhammad Sanusi mengakui tanggungjawab sebagai Menteri Besar pada penggal ini lebih mencabar kepadanya kerana bimbang dengan hasrat rakyat yang meletakkan harapan terlalu tinggi kepadanya.

“Saya berazam dan akan cuba sedaya upaya tunaikan amanah rakyat. Kita pun ada 32 lagi ADUN pelbagai latar belakang dan mereka juga sudah pasti mempunyai azam yang sama untuk berkhidmat kepada rakyat Kedah,” katanya. –UTUSAN

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo