Shahrulufti Sharif

Ketua Penerangannya, Shahrulufti Sharif berkata, Kertas Putih itu mesti disediakan oleh pasukan khas terdiri daripada pakar profesional segenap lapisan yang mahir mengenai persempadanan, sejarah dan perundangan.

Ujar beliau, polemik dan perbahasan isu Ambalat itu makin hangat diperdebatkan sehingga tidak ada kesudahan dan menimbulkan tanda tanya rakyat apa sebenarnya berlaku.

“Bagi Putra, Ambalat merupakan isu kedaulatan negara yang amat serius. Walaupun kerajaan dikatakan telah memberi penjelasan, namun ia disampaikan dalam bentuk seperti ceramah.

“Penjelasan pula lebih kepada kerajaan mempertahankan bahawa Ambalat tidak termasuk dalam perjanjian ditandatangan Perdana Menteri Malaysia dengan Presiden Jokowi dalam lawatan singkat ke negara ini baru-baru ini.

“Pada masa sama, rakyat, tokoh pokitik dan aktivis masyarakat termasuk NGOs terus mempertikaikan kesahihannya serta tidak mempercayai penjelasan Datuk Seri Anwar Ibrahim,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Kata beliau, jika apa yang disuarakan kedua mereka itu tidak benar dan lebih kepada hasutan, kerajaan perlu mendakwanya di bawah Akta Hasutan kerana membawa kesan buruk terhadap pemikiran rakyat.

“Apatah lagi dalam bual bicara itu, mereka mendesak Anwar dan semua anggota kabinet Kerajaan Perpaduan meletakkan jawatan.

“Apa pun CheGu Bard dan Shahidan dilihat memberi fakta dan maklumat setakat mereka ada dan ketahui serta meyakinkan selagi mana kerajaan dan Anwar tidak memperbetulkan kebenarannya secara telus dan menyeluruh,” ujar beliau.

Shahrulufti berkata, cadangan Kertas Putih itu amat mendesak kerana Indonesia begitu gembira atas kejayaan persetujuan yang ditandatangani kerajaan mereka dan Malaysia.

Indonesia, ujarnya langsung tidak mengeluarkan kenyataan rasmi menafikan perjanjian tersebut tidak melibatkan Ambalat terutama kawasan yang ada minyak dan gas.

“Ini menyebabkan rakyat yakin dan percaya penjelasan daripada perdana menteri tidak mencukupi serta tidak telus sepenuhnya mengenai isu Ambalat.

“Pertikaian mengenai wilayah maritim di sekitar blok Ambalat antara Malaysia dan Indonesia adalah isu kompleks dan sensitif. Sengketa ini melibatkan klaim atas wilayah ND6 dan ND7 di blok Ambalat yang kaya dengan sumber daya alam, terutama minyak dan gas.

“Namun, penting untuk Malaysia menghindari spekulasi dan fokus dengan mencari penyelesaian adil serta menguntungkan kedua pihak,” katanya.

Menurut beliau, pentingnya ketelusan, keadilan dan kepentingan rakyat tidak boleh diabaikan dalam menangani isu yang sensitif ini.

Katanya, pendekatan demokratik seperti penggunaan mekanisme Parlimen dan penyediaan Kertas Putih akan membantu mencapai penyelesaian yang baik bagi kedua negara.

“Dengan ini, solusi yang diambil akan mencerminkan kepentingan negara dan rakyat Malaysia secara keseluruhan, sekali gus menghakis pemikiran dan kepercayaan rakyat bahawa kerajaan telah menyerah kedaulatan negara atas sebab tertentu,” kata beliau. – MalaysiaGazette