PENGERUSI DAP Lim Guan Eng menafikan spekulasi tentang ketidakhadiran beliau di Pusat Penjumlahan Undi Pakatan Harapan (PH)-Barisan Nasional (BN) di sebuah hotel di George Town semalam, mempunyai kaitan dengan Ketua Menteri Chow Kon Yeow.
Lim menjelaskan beliau tidak dapat hadir kerana perlu berada di pusat penjumlahan rasmi undi di Kompleks Masyarakat Penyayang bagi sama-sama mendengar keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Pulau Pinang untuk kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Air Putih yang ditandinginya.
“Jangan buat spekulasi, saya pergi tempat kira undi dan saya tidak sempat (ke St Giles Wembley), banyak program jadi saya perlu berulang-alik,” katanya kepada media selepas menghadiri Majlis Angkat Sumpah Ketua Menteri Pulau Pinang di Seri Mutiara hari ini.
Lim yang juga Ahli Parlimen Bagan berjaya mempertahankan DUN Air Putih yang disandangnya sejak 2008 dengan majoriti 7,923 undi apabila mendapat 8,996 undi.
Beliau mengalahkan calon Perikatan Nasional (PN) Kong Cheng Ann yang meraih 1,073 undi dan calon Parti Rakyat Malaysia Teh Yee Cheu yang memperoleh 437 undi, pada pertandingan tiga penjuru itu.
Sebelum ini, terdapat khabar angin yang mendakwa hubungan Lim dan Chow dingin susulan isu-isu berkaitan PRN termasuk pemilihan Ketua Menteri.
Dalam pada itu, Lim menjelaskan kehadiran ayahnya Lim Kit Siang ke Pusat Penjumlahan Undi PH-BN adalah sebagai tanda sokongan kepada calon dan parti.
Terdahulu, Chow, 65, yang juga Pengerusi PH Pulau Pinang mengangkat sumpah jawatan Ketua Menteri Pulau Pinang bagi penggal kedua di hadapan Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang Ahmad Fuzi Abdul Razak di Seri Mutiara pagi tadi.
Chow yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota akan mengetuai Kerajaan Negeri Pulau Pinang setelah gabungan PH-BN memenangi 29 daripada 40 kerusi DUN pada PRN semalam. – Bernama, 13 Ogos, 2023.
........
Komen: ........
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |
No comments
Post a Comment