Timbalan Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar Dan Perubahan Iklim, Datuk Seri Huang Tiong Sii berkata, penghantaran pulang dua anak panda gergasi ini dilaksanakan sebagai mematuhi Perjanjian Projek Kerjasama Antarabangsa Konservasi Giant Panda.
“Ia telah ditandatangani antara kedua-dua pihak pada 2012 sempena sambutan ulang tahun ke-40 hubungan diplomatik antara Malaysia dan China.
“Penghantaran pulang ini juga adalah bagi tujuan konservasi panda gergasi untuk membolehkan ia bergaul dan membiak dengan panda gergasi yang lain.
“Satu penilaian bersama akan diadakan dengan China Wildlife Conservation Association (CWCA) pada tahun ini bagi menilai pencapaian Perjanjian Projek Kerjasama Antarabangsa Konservasi panda gergasi dalam aspek tahap kesihatan, pembiakan, pendidikan, kesedaran awam, penyelidikan dan hubungan dua hala,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa sidang akhbar penghantaran pulang anak panda gergasi Malaysia ke China di Pusat Konservasi Giant Panda (PKGP), Zoo Negara di sini hari ini.
Tiong Sii berkata, Yi Yi yang kini berusia lima tahun sepatutnya dihantar pulang pada 2020.
Namun katanya, penghantaran pulang terpaksa ditangguhkan susulan penularan pandemik Covid-19.
“Memandangkan Sheng Yi juga telah mencecah usia 24 bulan pada Mei lalu, CWCA bersetuju dengan cadangan Malaysia untuk menghantar kedua-dua anak panda gergasi ini sekali.
“Yi Yi yang bermaksud persahabatan dan Sheng Yi yang bermaksud keamanan dan persahabatan menjadi nama pilihan bagi kedua-dua anak panda gergasi daripada pasangan Fu Wa dan Feng Yi yang tiba di Malaysia pada 21 Mei 2014.
“Nama-nama ini memberikan maksud yang signifikan dalam mengukuhkan ikatan antara Malaysia dan China.
“Saya berharap gergasi panda yang merupakan utusan khas daripada China dapat menggalakkan lagi persefahaman dan kerjasama erat di antara kedua-dua negara,” katanya.
Majlis turut dihadiri Duta Besar China ke Malaysia, Ouyang Yujing dan Presiden Malaysian Zoological Society (MZS), Datuk Zaharin Md. Arif. – UTUSAN
No comments
Post a Comment