NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Demi Sanusi, Shahbudin tolak tawaran kerja di luar negara

Abang Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor iaitu Shabudin, 57, membuat keputusan menolak dua tawaran kerja di Arab Saudi dan Qatar bagi memastikan tanggungjawabnya sebagai pengundi pada pilihan raya negeri (PRN) ditunaikan.

Menurut Shabudin, mereka 13 beradik termasuk kedua ibu bapa merupakan pengundi berdaftar bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Jeneri di Sik.

“Saya sepatutnya sudah berangkat ke Arab Saudi dan Qatar pada Rabu lalu, tapi kerana perjuangan saya perlu tunaikan tanggungjawab saya hari ini untuk mengundi.

“Insya-Allah selepas ini saya akan terbang ke negara lain, saya tak bimbang tentang kerja kerana sekarang ini tawaran kerja sangat banyak berikutan kenaikan harga minyak dunia,” katanya ketika ditemui di Sekolah Kebangsaan (SK) Bandar Baru Beris Jaya, Sik.

Pada 10 Julai lalu, nama Shabudin menjadi perhatian ramai apabila tular sebuah banglo di Kampung Batu 8, di Sik yang didakwa milik Muhammad Sanusi hasil daripada kegiatan perlombongan unsur nadir bumi (REE).

Muhammad Sanusi kemudiannya menafikan gambar banglo di Sik yang ditularkan pihak tertentu menerusi media sosial adalah miliknya dan memaklumkan ia adalah kepunyaan Shabudin yang bekerja sebagai penyelam profesional dasar laut.

Sementara itu, Shabudin mengakui dia tidak berasa tertekan dengan keadaan itu berikutan sudah biasa dengan alam pekerjaan yang menuntut komitmen dan kesabaran yang tinggi.

“Kerja saya pun sudah dalam keadaan tertekan, jadi saya sudah biasa dalam keadaan ini, saya tak kisah dengan apa yang berlaku (kisah banglo tular),” katanya.

Dalam pada itu, bapa kepada Muhammad Sanusi, Md. Nor Taib, 82, yang hadir berkerusi roda turut selesai mengundi pada pukul 9.15 pagi tadi sambil ditemani seorang lagi abang kepada Muhammad Sanusi iaitu Sobri, 54.

“Alhamdulillah pak cik sudah selesai mengundi, sejak negara ada kan pilihan raya, pak cik tak pernah ponteng mengundi,” katanya.

DUN Jeneri menyaksikan pertembungan satu lawan satu membabitkan penyandangnya, Muhammad Sanusi daripada Perikatan Nasional (PN) dan calon Barisan Nasional (BN), Datuk Muhamad Khizri Abu Kasim.

Muhammad Sanusi yang juga Ketua Pengarah Pilihan Raya PN memenangi kerusi Jeneri pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) selepas menewaskan penyandang BN, Mahadzir Abdul Hamid dan calon Pakatan Harapan (PH), Mohd. Nazri Abu Hassan dengan majoriti 2,455 undi.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo