NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

BNM cadang Peguam Negara dakwa 3 bekas pengarah 1MDB, mahkamah diberitahu

Zeti Akhtar Aziz berkata, Najib mengemukakan jaminan kerajaan untuk membiayai usaha sama antara 1MDB dengan PSI. (Gambar Bernama)


KUALA LUMPUR: Bekas gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) Zeti Akhtar Aziz memberitahu Mahkamah Tinggi pada perbicaraan 1MDB Najib Razak bahawa bank pusat itu mencadangkan agar tiga individu didakwa kerana memberikan maklumat palsu.

Zeti berkata, pegawai penyiasatnya mencadangkan agar bekas ketua pegawai eksekutif 1MDB Shahrol Azral Ibrahim Halmi; bekas eksekutif Tang Keng Chee; dan bekas pengarah pelaburan Nik Faisal Ariff Kamil didakwa bawah Akta Kawalan Pertukaran Wang 1953 kerana memberi maklumat palsu kepada BNM berhubung permohonan 1MDB untuk membuat pembayaran di luar Malaysia.


Bagaimanapun, katanya, Peguam Negara ketika itu, Apandi Ali, tidak mengambil sebarang tindakan lanjut.


Pada 2009, 1MDB menjalin usaha sama dengan PetroSaudi International (PSI), yang memerlukan 1MDB menyediakan modal USD1 bilion.


BNM memberikan kelulusan kepada 1MDB untuk memasukkan USD1 bilion ke akaun bank usaha sama 1MDB-PSI tetapi hanya USD300 juta dimasukkan.

Bagaimanapun, pada 11 Sept 2015, Jabatan Peguam Negara berkata, kertas siasatan 1MDB akan diklasifikasikan sebagai “tiada tindakan lanjut”, walaupun Zeti berkata terdapat keterangan yang kukuh untuk mewajarkan pendakwaan.

Peguam, Shafee Abdullah, bertanya kepada Zeti sama ada Najib memainkan sebarang peranan dalam transaksi USD1 bilion itu.

Zeti menjawab, Najib mengemukakan jaminan kerajaan untuk membiayai usaha sama itu.


“Salah satu sebab BNM meluluskan (permohonan untuk membuat pembayaran di luar Malaysia) adalah kerana ia diluluskan oleh lembaga pengarah 1MDB, dan Jemaah Menteri turut meluluskan jaminan kerajaan.


“Apabila kami siasat (kemudian), BNM dapati tiada pelaburan sedemikian,” kata Zeti, sambil menambah Najib juga pengerusi lembaga penasihat 1MDB, justeru mempunyai peranan eksekutif.

“Dia mesti tahu tentang pelaburan sedemikian,” kata Zeti.

Shafee mencabar jawapan Zeti dengan berkata, bekas perdana menteri itu tidak mungkin mengendalikan syarikat itu kerana mengikut perlembagaan syarikat, lembaga penasihat hanya boleh memulakan mesyuarat atas permintaan salah seorang pengarah.


Bagaimanapun, Zeti menegaskan bahawa keterangannya adalah berdasarkan siasatan BNM.

“Saya juga harus sebut bahawa 1MDB ialah syarikat milik penuh kerajaan, jadi adakah anda mengatakan (bekas) menteri kewangan tidak tahu tentang pelaburan besar ini?” soal Zeti.

Shafee: Jika kita ikut retorik kamu bahawa (bekas) perdana menteri semestinya tahu (tentang pelaburan itu), pasti kamu juga tahu apa yang ada dalam akaun suami dan anak-anak kamu?


Zeti: Saya tidak pantau pelaburan dalam entiti yang mana saya tidak terlibat, dan tidak bertanggungjawab (ke atasnya).

Najib sedang dibicarakan atas 25 tuduhan salah guna kuasa dan pengubahan wang haram membabitkan dana didakwa milik 1MDB, berjumlah lebih RM2.28 bilion, yang dimasukkan ke dalam akaun AmBank miliknya antara Februari 2011 dan Disember 2014.

Perbicaraan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung esok.


Sumber | FMT Malaysia 









........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo