NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Bersih gesa kerajaan Anwar contohi Kelantan, dana sama rata kepada wakil rakyat



Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) hari ini menggesa kerajaan pusat supaya mencontohi pentadbiran Kelantan dalam menyediakan peruntukan sama rata kepada semua wakil rakyat, termasuk daripada pembangkang. 

Mengingatkan kerajaan campuran Pakatan Harapan dan Barisan Nasional (PH-BN) tentang janjinya untuk memperuntukkan Dana Pembangunan Kawasan Pilihan Raya (CDF) sama rata kepada semua wakil rakyat, Bersih menggesa kerajaan persekutuan serta semua sembilan negeri termasuk Sabah dan Sarawak supaya segera menggubal dan menyediakan dana yang sama rata untuk semua ahli Dewan Undangan Negeri (Adun), tanpa mengira fahaman politik.

"Pemberian peruntukan CDF yang sama rata tanpa melihat kepada gabungan politik seperti yang dimulakan oleh kerajaan Perak di bawah pimpinan Saarani Mohamad sejak 2020 dan kini diikuti oleh kerajaan Kelantan perlu diteladani dan diikuti oleh negeri-negeri lain.

"Kematangan politik seperti yang dilakukan di Perak dan Kelantan adalah jalan ke hadapan untuk negara bergerak ke arah politik yang lebih profesional dan tidak menghukum hanya kerana berbeza ideologi politik,” kata Bersih dalam satu kenyataan hari ini.

Rabu lalu, Menteri Besar Kelantan Mohd Nassuruddin Daud memberi jaminan semua Adun negeri itu akan menerima peruntukan sama daripada kerajaan negeri.

Beliau berkata pihaknya akan berlaku adil kepada semua wakil rakyat sama ada daripada pembangkang kerana mereka dipilih rakyat. 

"Walaupun aliran politik berbagai-bagai, pilihan raya telah selesai, yang ada ialah wakil rakyat iaitu wakil kepada rakyat," kata Nassuruddin.

Bersih juga berkata adalah tidak wajar Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengumumkan kerajaan pusat akan memberikan peruntukan kepada ahli Parlimen pembangkang dan kemudian meminta ketua pembangkang daripada Perikatan Nasional (PN) berunding dengan kerajaan persekutuan mengenai perkara itu.

Menurut gabungan itu kerajaan campuran PH-BN bukan sahaja bertanggungjawab melaksanakan manifesto di peringkat persekutuan dan di semua negeri di bawah pimpinannya tetapi juga merundingkan pakej undang-undang CDF yang sama rata dalam persekutuan dan semua 13 negeri, termasuk yang diperintah oleh PN, GPS dan GRS.

“Penafian CDF sama rata di kawasan yang dimenangi wakil rakyat pembangkang merupakan satu bentuk hukuman kepada rakyat.

"Sekalipun jika peruntukan itu diturunkan pula melalui penyelaras kawasan parti kerajaan yang sering kali bakal dijadikan calon, ia tetap penyalahgunaan sumber kerajaan untuk tujuan kepartian secara keji.”

Menyebut apa yang dipanggil sebagai kes paling ekstrem, Bersih berkata di Sarawak, Adun kerajaan menerima peruntukan minimum RM8 juta setahun manakala wakil pembangkang diberi RM0, sambil menambah situasi sedemikian tidak boleh diterima.

"Malah pemberian peruntukan tidak saksama seperti yang diamalkan oleh kerajaan Selangor, Pulau Pinang, Johor, Pahang – di mana Adun kerajaan diberi lebih peruntukan daripada Adun pembangkang –  juga amalan lapuk yang tidak selari dengan nilai (kerajaan) Madani," katanya.

PN mengekalkan penguasaan di Kedah, Terengganu dan Kelantan – tiga negeri sebelum ini di bawah pentadbirannya – pada pilihan raya 12 Ogos. 

Ia juga berjaya menembusi Selangor dan Pulau Pinang, yang dipertahankan oleh PH-BN bersama Negeri Sembilan.


Sumber I MalaysiaNow 





........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo