KUALA LUMPUR: Malaysia menangani impak pandemik COVID-19 lebih baik berbanding negara serantau lain dari segi kemerosotan jualan syarikat dan kehilangan pendapatan isi rumah, demikian menurut Bank Dunia.
Ketua Negara Bank Dunia bagi Malaysia, Dr Yasuhiko Matsuda, berkata berdasarkan kajian yang dijalankan pihaknya ketika pandemik membabitkan enam negara iaitu Kemboja, Indonesia, Malaysia, Mongolia, Filipina dan Vietnam, mendapati syarikat bersaiz kecil dan isi rumah rentan dan miskin terjejas teruk ketika pandemik.
Katanya, masih terdapat golongan miskin yang tidak mempunyai akses kepada Internet dan ia menyukarkan mereka untuk mendapat manfaat bantuan ketika pandemik.
"Dasar kerajaan menuju ke depan adalah mencari keseimbangan antara infrastruktur asas dan digital.
Kecekapan peruntukan sesetengah bantuan kerajaan boleh dipertingkatkan lagi dengan menjadikan akses maklumat lebih saksama memandangkan masih ada firma kecil tidak tahu program bantuan yang ditawarkan.
"Justeru, terdapat ruang untuk dipertingkatkan dari segi pendedahan maklumat dan ketelusan," katanya ketika ditemui selepas pelancaran laporan Bank Dunia bertajuk 'Membina Daya Tahan Malaysia: Pengajaran Impak Ekonomi dan Tindak Balas Dasar daripada COVID-19' di sini, hari ini.
Ahli Ekonomi Kanan Bank Dunia, Ririn Purnamasari, pula berkata kesan pandemik kepada firma kecil dan golongan miskin adalah lebih teruk dan mereka juga dilihat pulih dengan perlahan.
Beliau berkata, situasi itu perlu diberi perhatian memandangkan ia mempunyai risiko melebarkan ketidakseimbangan pada masa depan.
"Golongan miskin dan firma kecil dilihat menggunakan aset tidak produktif seperti menggunakan simpanan, mengurangkan penggunaan berkaitan makanan dan bukan makanan dalam menangani krisis.
"Walaupun ekonomi pulih, masih ada daripada golongan ini yang ketinggalan dan mereka ini masih perlu perhatian dan sokongan daripada kerajaan," katanya.
Menuju ke hadapan, Purnamasari berkata, pelaksanaan program bantuan kerajaan secara bersasar lebih baik memandangkan ia lebih mampan dalam jangka panjang dengan program diutamakan kepada golongan rentan, memperluaskan kelayakan dan menyediakan perlindungan sementara bagi isi rumah yang berdepan kejutan ekonomi.
Beliau berkata, pengukuhan program bantuan sosial boleh meningkatkan jangkauan dan perlindungan untuk keluarga berpendapatan rendah dan rentan, sekali gus menggalakkan pemulihan yang saksama.
Katanya, kerajaan juga boleh merancakkan pasaran pekerjaan dengan menggalakkan program meningkatkan kemahiran dan latihan semula tenaga kerja yang lebih mampan untuk tempoh jangka panjang.
Penolong Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Fraziali Ismail, berkata keputusan dasar dan pembaharuan struktur yang dilaksanakan sebelum ini membantu negara keluar daripada tempoh yang mencabar sehingga ke masa kini.
Justeru, beliau berkata, dasar berkenaan kini perlu dinilai semula dan dikemaskini untuk masa depan yang lebih kukuh.
"Kehendak yang berterusan untuk melakukan reformasi struktur bukan satu penemuan baharu bagi sesiapa yang terbabit dengan pembinaan dasar jangka panjang," katanya.
Fraziali berkata, dengan manfaat daripada pengalaman masa lalu, dapat dilihat kelemahan yang jelas dalam reka bentuk dan pelaksanaan beberapa dasar.
Sebagai contoh, katanya walaupun kejutan besar akan memberi kesan lebih buruk kepada sesetengah individu dan perniagaan berbanding golongan lain, masih ada ruang untuk meningkatkan cara membantu mereka dan memulihkan perniagaan.
No comments
Post a Comment