PETALING JAYA: Perdana Menteri Anwar Ibrahim berdepan suatu dilema yang akan membentuk politik negara bagi beberapa tahun akan datang, kata bekas ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin.
“Adakah beliau akan terus berpegang pada platform progresif dan reformasi atau memperkenalkan dasar-dasar yang lebih konservatif bagi menghadapi PN (Perikatan Nasional)?” kata Khairy dalam artikel di laman Singapura, Fulcrum.
Katanya, usaha Anwar meningkatkan sokongan orang Melayu kepada kerajaan perpaduan pada PRN enam negeri minggu lepas tidak membuahkan hasil yang diingini.
Ini termasuk bertemu tokoh-tokoh Islam, melawat negeri-negeri nusa teras Melayu, mengumumkan program-program bantuan, dan pengharaman jam-jam yang mengandungi unsur-unsur LGBTQ (lesbian, gay, biseksual, transgender atau queer).
Menurut Khairy, data ‘mentah’ (provisional) daripada pilihan raya menunjukkan sokongan orang Melayu kepada PN meningkat dari 67% pada PRU lepas kepada 83% pada Sabtu lepas.
“Di Selangor, yang boleh dikatakan kubu Pakatan Harapan paling penting, sokongan orang Melayu kepada PN meningkat dari 49% kepada 73%.
“Analisis awal mencadangkan sebahagian besar dapatan-dapatan bagi PN ini daripada pengundi Melayu. Pengundi-pengundi ini, yang sebelum ini menyokong Umno, beralih sokongan kepada pembangkang, bukan kepada Umno mahupun PH.”
Katanya, susulan pilihan raya itu, penyokong Anwar menggesa beliau tidak memenuhi kehendak golongan Melayu “kanan”, sebaliknya tumpu kepada ekonomi, memperkenalkan reformasi, dan memperjuangkan fahaman pelbagai budaya.
“Namun, selepas dicela oleh pengundi Melayu, Anwar mungkin rasa macam hendak kedua-duanya sekali: Meneruskan percubaan-percubaan dan program-program etnosentrik, dan pada masa sama, berharap ekonomi bertambah baik untuk rakyat kebanyakan,” katanya.
Khairy juga berkata prestasi Umno yang menyedihkan memberikan Anwar satu lagi dilema, selepas ia sekadar menang 19 daripada 108 kerusi yang ditandingi.
Katanya, Anwar mungkin perlu memikirkan semula strategi beliau sekiranya Umno gagal melakukan reformasi, termasuk menyingkir Presiden Zahid Hamidi.
“Beliau boleh kekal pada haluan sekarang dan melangkah ke PRU akan datang dengan kerjasama Umno, malah mengesyorkan pengampunan diraja bagi bekas perdana menteri Najib Razak yang masih berpengaruh dalam parti,” katanya.
Sebaliknya, Anwar boleh menamatkan kerjasama dengan Umno dan menambah baik sokongan orang Melayu kepada PKR dan Amanah, atau menghulurkan kerjasama kepada Bersatu.
“Pilihan ini mungkin nampak mustahil, namun peristiwa lagi aneh pernah berlaku dalam politik, misalnya gandingan antara PH dan Umno baru-baru ini,” katanya.
Sumber I FMT Malaysia
........
Komen: ........
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |
No comments
Post a Comment