NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

AMK gagal faham penghakiman dan pencalonan Amzad




TINDAKAN Angkatan Muda Keadilan (AMK) yang masih mempertikaikan pencalonan semula Datuk Ahmad Amzad Hashim di PRK P.036 Kuala Terengganu adalah difahami.

AMK kecewa hasrat untuk mendapat kemenangan percuma dengan penolakan pencalonan Datuk Amzad tidak kesampaian kerana gagal membaca Penghakiman Petisyen Kuala Terengganu dengan betul.

Mereka bagaikan menghina keputusan mahkamah yang jelas tidak menamakan Datuk Amzad dan mana-mana pihak sebagai pelaku rasuah.

Rakyat Kuala Terengganu akan menghukum calon dari parti tersebut kerana perbuatan biadab AMK menghina dan mempertikai keputusan hakim Pilihan Raya Petisyen Parlimen Kuala Terengganu.

Mereka sebenar merancang ‘kemenangan mengikut pintu belakang’ untuk menang secara percuma dengan harapan pencalonan mantan Ahli Parlimen Kuala Terengganu itu ditolak semasa penamaan calon.

Jangkaan mereka cetek dan meleset. Sebaliknya rakyat Kuala Terengganu melihat ini adalah perbuatan pengecut dan bacul yang takut berdepan dengan pengundi Parlimen Kuala Terengganu.

Pengundi Kuala Terengganu akan menghukum mereka pada 12 Ogos ini.

AMK patut membaca keputusan penghakiman yang menolak semua dakwaan pembelian undi di pusat pengundian kerana keterangan saksi yang dibawa oleh pempetisyen, Datuk Zubir Embong langsung tidak dibuktikan. 

Dalam erti kata lain, ini dakwaan yang direka-reka. Konon ada wanita berpurdah, pakai vestPAS membeli undi. 

Konon depan SMA Sultan Zainal Abidin yang menjadi pusat pengundian, saksi tak nampak poster, perayu undi, bangsal BN. 

Semuanya yang ada di pusat mengundi adalah dari parti PAS sahaja. Ini langsung tidak logik.

Satu-satunya yang disabitkan sebagai ‘unsur rasuah’ adalah program rasmi kerajaan negeri, i-Siswa dan i-Belia yang telah sedia ada dalam Enakmen Perbekalan 2022 setelah diwartakan dengan perkenan DYMM Sultan Terengganu. 

Kerajaan Negeri masih berfungsi sepenuhnya ketika PRU15 kerana Dewan Undangan Negeri belum dibubarkan.

Program i-Siswa, i-Belia bukan program Datuk Amzad, bukan duit Datuk Amzad. Malah, petugas-petugas yang melaksanakan program ini bukan pekerja yang di bawah kuasa, arahan atau pengaruh Datuk Amzad. Mereka adalah kakitangan awam kerajaan negeri.

Datuk Amzad malah tiada apa-apa kena mengena dan peranan dalam i-Belia dan i-Siswa.

Jika kita mempunyai akal yang adil dan munasabah, tidakkah kita melihat secara jelas, apabila mahkamah memutuskan pembatalan keputusan Pilihan Raya Kuala Terengganu oleh apa yang disifatkan sebagai ‘unsur rasuah’, di mana bukan Datuk Amzad yang melakukannya, tentulah yang paling terkesan dan menjadi mangsa keadaan adalah Datuk Amzad sendiri.

Kemenangannya adalah besar dengan majoriti 40,907 setelah mendapat undi lebih 63,000 berbanding Datuk Zubir yang membuat petisyen, cuma diundi sebanyak 20,000.

Ia dibatalkan mahkamah. Segala kos ratusan ribu Ringgit (bukan murah untuk berdepan Pilihan Raya Parlimen), tenaga, masa yang dikorbankan Datuk Amzad hangus begitu sahaja oleh kesalahan yang tidak beliau lakukan. 

Dan undang-undang yang ada tidak dapat dipastikan mempunyai ruang untuk beliau menuntut ganti rugi atas kerugian yang besar itu.

Bagaimana pula dengan kos yang ditanggung oleh rakyat yang keluar mengundi? Yang balik dari jauh di perantauan untuk mengundi. Ia menjadi sia-sia.

ANAK MUDA PEMERHATI POLITIK
Kuala Terengganu
Terengganu Darul Iman – HARAKAHDAILY1/8/2023


........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo