NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Akui inisiatif PH terbaik, tapi mahu beri PN peluang tadbir Selangor


PETALING JAYA:
Meskipun mengakui tawaran Pakatan Harapan (PH) terbukti dirasai semua lapisan masyarakat khususnya golongan rentan, namun segelintir pengundi di Selangor sedia “mengalih” undi mereka kepada Perikatan Nasional (PN) yang menjanjikan 112 tawaran jika menang PRN Sabtu ini.

Beberapa pengundi ditemui FMT menyambut baik inisiatif ditawarkan PN antaranya memperluaskan bantuan kesihatan dan air percuma kepada golongan berpendapatan isi rumah antara RM5,000 hingga RM15,000.

Pengundi dari DUN Bukit Lanjan, Suriati Azmi, 33, tertarik dengan tawaran PN untuk memperluas skim peduli sihat kepada isi rumah berpendapatan bawah RM5,000 kerana golongan itu antara terjejas akibat kenaikan kos sara hidup.

“Bagi saya mereka yang berpendapatan RM5,000 ke atas juga bergelut dengan kos sara hidup semakin meningkat,” katanya ketika ditemui FMT.

Peruntukan itu meningkat sedikit berbanding skim peduli sihat bawah pentadbiran PH, yang menyediakan sebanyak RM500 setahun kepada isi rumah bawah RM3,000 ketika ini. Untuk rekod, program berkenaan diperkenalkan pada 2017 ketika pentadbiran Azmin Ali.

Jumaat lalu, Pengerusi PN Muhyiddin Yassin mengumumkan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Selangor bernilai lebih RM2 bilion bertemakan “Selangor Baharu, Kita Bangkit”, antaranya bantuan RM400 sebulan bagi pembelian barangan asas kepada 65,000 keluarga memerlukan, air percuma untuk 20 meter padu pertama kepada isi rumah berpendapatan bawah RM15,000 dan memperluas Skim Peduli Sihat.

Sementara itu, Faizul Rahman, 27, pengundi di Kota Damansara pula menyambut baik perluasan bantuan air percuma kepada mereka berpendapatan bawah RM15,000, berbanding terhad untuk kumpulan berpendapatan RM5,000 ke bawah seperti dilaksanakan kerajaan Selangor pimpinan Amirudin Shari.

Namun, beliau mencadangkan skim bantuan turut diperluaskan kepada bil elektrik yang ketika ini agak membebankan pengguna.

“Ia sedikit-sebanyak membantu meringankan beban, sekarang kos sara hidup tinggi tetapi saya rasa perlu ada pembaharuan kerana bil air agak terkawal dan tidak semahal bil elektrik, rakyat terbeban dengan bil mencecah ratusan ringgit setiap bulan,” katanya.

Bagi pengundi kali pertama, Azahari Yahya, 18, beliau tertarik dengan bantuan awal pengajian berjumlah RM1,500 yang terbuka kepada semua anak Selangor tanpa mengira kumpulan pendapatan, berbanding sebelum ini terhad kepada keluarga berpendapatan RM5,000 ke bawah.

“Ini secara tidak langsung membakar semangat kami untuk meneruskan pengajian ke tahap lebih tinggi, tidak kira teruskan ke peringkat IPT ataupun matrikulasi serta Tingkatan 6,” katanya.

Ibu tunggal, Hasnah Diran, 44, tertarik dengan bantuan bulanan bernilai RM400, yang disifatkan amat diperlukan oleh golongan sepertinya.

“Walaupun tambahan hanya RM100 berbanding sekarang (pentadbiran PH), nilai itu cukup besar bagi saya yang hanya bekerja sebagai pembantu gerai. Harga barang semua dah naik, dapat tambah sikit pun kurang juga beban saya,” kata ibu empat anak yang akan mengundi di DUN Lembah Jaya.

Skim bantuan prihatin keluarga Selangor itu seakan sama seperti program Bantuan Kehidupan Sejahtera Selangor (Bingkas), inisiatif PH yang menyediakan RM300 sebulan untuk keluarga kurang berkemampuan.


........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo