NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Ahmad Yakob minta berundur jawatan MB kerana uzur: Hadi Awang

BANGI, 25 Muharram 1445H, Sabtu – Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang menjelaskan perubahan jawatan Menteri Besar di Kelantan – sekiranya parti itu kekal memerintah negeri – adalah disebabkan faktor Datuk Ahmad Yakob yang uzur.

Beliau berkata, keputusan mengundurkan diri itu sudah lama disuarakan Ahmad Yakob sebelum ini, namun kepimpinan tertinggi meminta beliau meneruskan pemerintahan di negeri berkenaan.

Bahkan, kata Abdul Hadi, ketika tempoh pentadbiran juga Ahmad Yakob sekali lagi mendesak untuk berundur atas faktor keuzuran, yang menyebabkan kepimpinan PAS mempertimbangkan permintaan itu.

“Menteri Besar mengundurkan diri kerana uzur. Dulu pun dia minta merayu supaya tak dilantik, dan minta lagi desak masa tengah-tengah … dia minta juga memang keuzuran.

“Dan kita pertimbanglah, kesian beliau. (Namun) dia masih menjadi wakil rakyat supaya semangat baru di Kelantan agar ada perubahan, sebab itu juga timbalan menteri besar diubah,” katanya kepada pemberita selepas selesai proses pengundian bagi DUN Ru Rendang di Sekolah Kebangsaan Rusila, Marang hari ini.

Menurut Abdul Hadi, keputusan membuat perubahan kepada jawatan menteri besar dan timbalan menteri besar tiada kaitan dengan desakan daripada mana-mana pihak.

“Memanglah lama sangat memerintah 30 tahun, letihlah orang yang bertugas itu. InsyaAllah dua calon baharu ini akan diterima rakyat Kelantan dan juga Tuanku (Sultan Kelantan).

“Adapun pengumuman (pertukaran) itu bergantung kepada persetujuan Sultan Kelantan kerana pelantikan kerajaan melibatkan Tuanku, parti dan rakyat,” katanya.

Semalam, Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan mengumumkan Kelantan dijangka mempunyai Menteri Besar atau Timbalan Menteri Besar baharu berikutan keputusan PAS mencadangkan gabungan agamawan dan teknokrat untuk dua jawatan itu jika menang Pilihan Raya Negeri (PRN) hari ini.

Susulan itu, Ahmad Yakob dan Mohd Amar dijangka tidak dilantik semula memegang antara dua jawatan berkenaan.

Sumber | ismaweb

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo