NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Wan Junaidi terima Anugerah Tokoh Dakwah Maal Hijrah Terengganu

KUALA TERENGGANU: Pendakwah bebas, Wan Junaidi Wan Jaafar, 54, dipilih sebagai penerima Anugerah Tokoh Dakwah Maal Hijrah Negeri Terengganu yang disambut di Wisma Darul Iman, di sini hari ini.

Bagaimanapun tiada pemenang bagi anugerah utama iaitu Tokoh Maal Hijrah Terengganu pada tahun ini atas faktor kelayakan.

Wan Junaidi memulakan karier sebagai penceramah sejak 2005 di sekitar Terengganu dan merupakan tenaga pengajar kitab Turath bertauliah daripada Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu.

Bapa kepada sembilan anak itu berkata, pengiktirafan yang diberi oleh kerajaan negeri meningkatkan motivasinya untuk menyampaikan ilmu kepada masyarakat.

“Sekarang, saya bersiaran dua kali seminggu di radio Terengganu FM dan sekali seminggu di Manis FM untuk membicarakan ilmu Tauhid, Fiqh dan Tasawwuf.

“Saya juga memanfaatkan penggunaan media sosial dengan menyiarkan ceramah di masjid-masjid secara ‘live’ di Facebook agar lebih ramai dapat mengikutinya di seluruh negara,” katanya kepada pemberita selepas menerima anugerah tersebut.

Anugerah dan sijil penghargaan, plak serta wang tunai RM10,000 itu disampaikan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin.

Dalam majlis yang sama, Anugerah Tokoh Hafiz diberi kepada Prof. Madya Dr. Khairul Anuar Mohamad yang menerima sijil penghargaan, plak dan wang tunai RM6,000.

Anugerah Tokoh Saudara Kita (lelaki) pula diberikan kepada Dr. Muhammad Irfan Nyia Abdullah manakala kategori wanita, Halimahtun Heng Abdullah. Kedua-dua mereka menerima wang tunai RM4,000.

Masjid Seberang Takir, Kuala Nerus pula dinobatkan sebagai Masjid Kerajaan Terbaik dengan membawa pulang RM10,000 manakala Restoran Halal Terbaik dianugerahkan kepada Bayam Enterprise Sdn. Bhd. (RM3,000). – UTUSAN

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo