PETALING JAYA – Seorang wanita bertindak luar kawalan apabila didakwa melemparkan minuman beralkohol kepada seorang penonton lain setelah diminta senyap di dalam panggung wayang.
Menerusi video yang dimuat naik oleh @eclent di akaun TikToknya, difahamkan kejadian berlaku di sebuah panggung wayang terletak di sebuah pusat beli-belah di Subang Jaya.
Ujarnya, pasangan tersebut berbual sepanjang tayangan filem Barbie sambil didakwa minum minuman beralkohol.
“Bukan sahaja mereka kurang ajar, wanita itu memutuskan untuk membuang minumannya beralkohol kepada penonton wayang lain yang memintanya diam,” tulisnya dalam kapsyen.
Lebih memburukkan keadaan apabila wanita itu turut menyebut dan menunjukkan isyarat lucah kepada penonton lain sebelum bergerak keluar dari panggung wayang.
Difahamkan juga, penonton wanita yang dilemparkan minuman beralkohol telah membuat laporan kepada pihak pengurusan panggung wayang namun sehingga kini tiada sebarang perkembangan terkini.
“Saya adalah wanita yang dia lemparkan minuman beralkoholnya. Saya melaporkan serta-merta semalam tetapi mereka hanya memberi saya jawapan ini sahaja.
“Televisyen litar tertutup di dalam panggung itu sepatutnya menjadi bukti. Terima kasih sebab dedahkan perkara ini. Harap mereka ambil tindakan secepat mungkin,” komen Tammy.
Sehingga kini, video tersebut mendapat 1.5 juta tontonan, 47,800 tanda suka dan 6,483 perkongsian.
Tinjauan Kosmo! di ruangan komen mendapati ramai yang menggesa pihak pengurusan untuk ambil tindakan serta menyiasat bagaimana minuman alkohol boleh dibawa masuk.
“Inilah sebabnya makanan dan minuman luar tidak dibenarkan masuk ke dalam panggung wayang,” komen Afi.
“Tularkan video ini dan bawa ke pihak pengurusan atasan. Sangat keterlaluan,” komen Jackie. – KOSMO! ONLINE
No comments
Post a Comment