Mahfuz Omar yakin PAS dapat ditumbangkan gabungan PH-BN pada PRN Kedah jika berlaku peralihan undi 10%. (Gambar Bernama) |
PETALING JAYA: Pakatan Harapan (PH)-Barisan Nasional (BN) Kedah yakin negeri itu berpotensi dirampas dari cengkaman PAS sekiranya berlaku peralihan 10% undi, menjelang PRN.
Pengerusi PH Kedah, Mahfuz Omar, berkata selain peralihan undi daripada Perikatan Nasional, gabungan undi BN-PH pada PRU15 bakal menyaksikan Kedah mampu ditawan.
“Kita hanya perlu bawa balik (dapatkan) undi yang lari daripada BN dan PH hanya sekitar enam dan tujuh peratus sahaja, sebab itu saya yakin kalau enam hingga tujuh peratus kita dapat undi yang lari (kepada PN) pada PRU lalu, maknanya ‘confirm’ (sah) boleh dapat 16 kerusi (Dewan Undangan Negeri).
“Itu kalau enam ke tujuh peratus, kalau naik sampai 10%, saya percaya insya-Allah kita mampu tubuh kerajaan (negeri),” katanya memetik Astro Awani.
Mahfuz berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Pimpinan Negeri BN dan PH , di Pejabat Umno Kedah, Bangunan Tunku, Alor Setar.
Kedah mempunyai 36 kerusi DUN dengan PH dikatakan bertanding 20 kawasan, manakala BN 15 kawasan. Media melaporkan hanya satu kerusi lagi belum ditentukan dipercayai melibatkan DUN Suka Menanti.
Dalam perkembangan sama, Pengerusi BN Kedah Mahdzir Khalid mengesahkan perbincangan mengenai calon yang akan ditampilkan kedua-dua parti itu sudah selesai dan akan diumumkan sebelum tarikh penamaan calon bagi PRN.
Beliau berkata, segala perkara berbangkit termasuk isu pertindihan kerusi sudah diselesaikan dan akan dimuktamadkan oleh presiden kedua-dua parti dalam masa terdekat.
“Kita sudah selesai berkaitan (urusan) calon, jadi itu kita sudah ada (nama) dan tunggu masanya (kita akan umumkan), insya-Allah sebelum daripada tarikh penamaan calon yang akan ditetapkan SPR nanti kita akan umum calon-calon.
“Kita pun telah bersetuju supaya satu tempat sahaja pengumuman calon ini, tidak ada BN tempat lain, Pakatan Harapan tempat lain, kita cadangkan satu tempat atas nama perpaduan negeri Kedah ini, kita umum satu tempat (sahaja) calon kita nanti,” katanya.
Sumber I FMT Malaysia
........
Komen: ........
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |
No comments
Post a Comment