NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

UMP dijenamakan Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah



KUANTAN, 30 Julai (Bernama) — Universiti Malaysia Pahang (UMP) kini dijenamakan sebagai Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA).

Naib Canselor UMP Profesor Datuk Dr Yuserrie Zainuddin berkata, penggunaan logo dan nama UMPSA telah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Riayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mengikut Warta Kerajaan Persekutuan berkuat kuasa 14 April lepas.

Beliau berkata, penjenamaan selepas 21 tahun penubuhan tatkala di puncak kejayaan, bertepatan dengan visi menjadi universiti teknologi terunggul.

Katanya, pertukaran nama itu tidak mengubah bidang fokus utama universiti, program pengajian serta enrolmen, selaras matlamat penubuhannya.

“Penjenamaan ini akan terus merealisasikan aspirasi kecemerlangan yang dicapai menerusi pemerkasaan akademik, pengantarabangsaan dan hasil penyelidikan berimpak serta menghasilkan graduan cemerlang untuk menjadi modal insan berkualiti dalam memacu pembangunan negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Bermula sebagai Kolej Universiti Kejuruteraan dan Teknologi Malaysia (KUKTEM) yang diwartakan pada 16 Feb 2002, kerajaan mengumumkan pertukaran nama institusi itu kepada UMP berkuat kuasa 1 Feb 2007.

Yuserrie berkata kebolehpasaran graduan UMPSA membanggakan apabila mencapai 98.67 peratus yakni antara tertinggi di Malaysia dan dengan penjenamaan itu ia akan membina keterlihatan, reputasi dan keupayaan, seiring perkembangan serta pencapaiannya yang diiktiraf dunia.

Selain itu, katanya UMPSA menawarkan pelbagai program teknikal berteraskan kejuruteraan dan teknologi yang berupaya memperkaya ekosistem Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) tahap tinggi di negara ini.

Dalam masa sama, beliau berkata universiti itu sentiasa berusaha untuk memperkenalkan teknologi serta amalan kelestarian kepada masyarakat selain mendidik serta menjadi suri teladan mengenai prinsip kelestarian.

Tambahnya sebagai universiti terbaik dalam rangkaian universiti teknikal Malaysia (MTUN), UMPSA komited melaksanakan Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) serta amalan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) yang baik. – BERNAMA




........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo