Kartini (gambar) berkata UMNO ketika ini diibaratkan seperti kapal yang pecah dari dalam. - Gambar fail/www.ukm.my
KUALA LUMPUR: Ketika pemimpin utama Parti Keadilan Rakyat (PKR) yakin Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) mempunyai sokongan yang lebih kuat berbanding Perikatan Nasional (PN) menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi, pandangan berbeza disuarakan oleh penganalisis politik dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Menurut Timbalan Pengarah Institut Kajian Etnik (Kita), Prof. Kartini Aboo Talib, UMNO dijangka berdepan kesukaran untuk menang pada PRN di enam negeri kerana penolakan orang Melayu, sekali gus memberi kesan kepada penurunan sokongan kepada PH.
Kartini menambah, UMNO ketika ini diibaratkan seperti kapal yang pecah dari dalam.
"PH sudah pun kuat tanpa UMNO. PH juga mewakili pengundi multietnik.
"Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi boleh dianggap sebagai sebahagian alasan kepada kurangnya sokongan terhadap PH.
"Yang penting, orang dalam UMNO sendiri tidak menyokong Ahmad Zahid. Mereka (UMNO) 'menyelam' terlalu dalam dan tidak sedar betapa bahayanya keadaan itu," katanya ketika dihubungi Astro AWANI pada Selasa.
Astro AWANI hari ini melaporkan Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli mendakwa 'swing' yang diterima PN pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu telah mula mereda pada kadar yang signifikan.
Rafizi mendakwa, corak perubahan itu berdasarkan data kajian setakat Jun lalu, yang mana data tersebut, katanya akan didedahkan dalam masa terdekat menjelang kempen PRN.
Dakwa beliau lagi, data tersebut menunjukkan bahawa pentadbiran PH di tiga negeri iaitu Selangor, Negeri Sembilan, dan Pulau Pinang berada dalam keadaan selesa.
Mengulas lanjut, Kartini berpandangan keadaan ekonomi yang merudum juga menjadi antara faktor utama pengundi menolak UMNO dan PH.
"Faktor besar (pengurangan sokongan) ialah keadaan ekonomi yang tidak menunjukkan tanda-tanda untuk pulih segera.
"Rakyat kini susah dan PH menggalas tanggungjawab besar serta segera untuk umum pakej bantuan ekonomi bersasar," katanya.
Begitu pun, beliau mengakui bahawa demografi penduduk bandar sudah menunjukkan trend sokongan yang konsisten terhadap Kerajaan Perpaduan.
Media sebelum ini melaporkan BN akan bertanding di lebih 100 DUN dalam enam PRN akan datang, manakala baki selebihnya akan ditandingi PH.
Ahmad Zahid yang juga Pengerusi BN berkata keputusan itu dibuat berdasarkan kedudukan semasa kerusi yang dimenangi oleh BN dan PH pada pilihan raya umum yang lalu.
No comments
Post a Comment