NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Ulasan | UMNO bakal berkuasa semula melalui undian PH di Selangor



Pengundi Selangor bakal membuat perhitungan pada 12 Ogos depan sama ada untuk mengekalkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang kini bersama UMNO atau membuat pilihan kerajaan negeri baharu bersama Perikatan Nasional (PN).

Selepas 15 tahun rakyat Selangor hidup bersama kerajaan negeri tanpa UMNO di dalam pentadbirannya, namun senario itu akan berubah jika pengundi memilih PH pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini kerana ia bermakna mereka juga akan mengundi parti diketuai Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Pengundi Selangor pada 2008 membuat kejutan apabila menendang keluar UMNO yang sejak sekian lama memerintah kerajaan negeri dengan menggantikan kerajaan baharu Pakatan Rakyat (PR) ketika itu.

Ketika bersama PR ketika itu yang terdapat PAS di dalam gabungan itu, UMNO berjaya disingkirkan dengan hanya mendapat 20 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Apabila UMNO-Barisan Nasional (BN) disingkirkan pada 2008 itu, ia juga menyaksikan pelbagai skandal dan pendedahan kes rasuah yang dilakukan oleh pemimpin parti tersebut sepanjang mereka berkuasa.

Rakyat Selangor juga tidak lupa kes rasuah melibatkan bekas Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Khir Toyo yang disabitkan disabitkan atas pertuduhan menyalah guna kuasa sebagai penjawat awam bagi memperoleh dua lot tanah dan sebuah banglo di Shah Alam bernilai RM6.5 juta pada harga RM3.5 juta pada 2007 untuk dirinya dan isteri.

Kes Khir tersebut adalah permulaan kepada kejatuhan UMNO di Selangor dan pada PRN 2013 juga menyaksikan gabungan PR sekali lagi berjaya mengekalkan kemenangan mereka.

Pada 2013, jumlah kerusi dimenangi PR juga bertambah daripada hanya memenangi 36 kerusi menjadi 44 kerusi DUN, sementara UMNO-BN hanya menang 20 kerusi.

Kemenangan PR di Selangor adalah disebabkan sentimen kuat pengundi di negeri itu yang menolak UMNO-BN dan pada 2018 sekali lagi pengundi memberi kepercayaan kepada Pakatan Harapan (PH), bukannya UMNO untuk mentadbir negeri tersebut.

Berbeza dengan PRN 2008 dan 2013, PH masuk bertanding tanpa PAS berada dalam gabungan tersebut kerana PR sudah terbubar.

PH adalah gabungan baharu yang terdapat di dalamnya, Bersatu dan masuk PRN Selangor menentang PAS dan UMNO ketika itu.

UMNO-BN mengalami kekalahan paling memalukan dalam sejarah pada PRN 2018 apabila hanya berjaya memenangi empat kerusi DUN sahaja.

Tiga PRN Selangor sebelum ini membuktikan sentimen rakyat yang menolak UMNO-BN dan apa sahaja anasir yang mempunyai kaitan dengan parti tersebut.

Rakyat Selangor memberi sokongan kepada mana-mana gabungan parti politik asalkan tidak terdapat elemen UMNO, bagaimanapun pada PRN 2023 kali ini senario tersebut sudah berubah.

PH mengambil risiko untuk bekerjasama dengan UMNO pada PRN yang akan berlangsung 12 Ogos depan, pembahagian kerusi dibuat antara PH dengan UMNO-BN dan sudah semestinya kerusi yang paling banyak akan menjadi milik parti komponen PH yang terdiri daripada PKR, DAP dan Amanah.

Bagaimanapun, PH kini sudah bekerjasama dengan UMNO, musuh tradisi politik sejak sekian lama atas alasan kononnya kerajaan perpaduan.

Retorik politik dimainkan untuk menyejukkan hati pengundi yang tertipu dengan helah pemimpin PH yang mahu berkuasa di peringkat Persekutuan.

Realitinya, langkah PH untuk bekerjasama dengan UMNO di Selangor akan membuka laluan kepada kembalinya parti yang suatu ketika dahulu merompak dan menyakau hasil bumi di negeri tersebut.

PH kini memberi nyawa untuk UMNO kembali berkuasa di Selangor dan sudah pastinya jawatan penting dalam kerajaan negeri juga sedang diintai pemimpin UMNO di negeri tersebut yang sudah bertahun-tahun menjadi pembangkang.

Peluang kini terhidang buat pemimpin UMNO untuk membuat ‘comeback’ di Selangor dan langkah PH bekerjasama dengan mereka adalah permulaan langkah untuk mereka menguasai negeri tersebut selepas PRN nanti.


Sumber I Agenda Daily 



........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo